Isnin, 14 Januari 2019 | 12:19am
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan ahli supaya tidak melanggar peraturan dan disiplin parti. - Foto BERNAMA

Jangan langgar disiplin parti - Anwar

SHAH ALAM: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan ahli supaya tidak melanggar peraturan dan disiplin parti.

Anwar berkata, beliau tidak akan bertolak ansur sekiranya perkara itu berlaku dan semua anggota parti harus akur dengan asas perjuangan PKR sejak ia ditubuhkan lebih 20 tahun lalu.

“Saya beri peringatan mesti ada disiplin dalam parti. Kalau setakat sindir-menyindir ketika mesyuarat dalam parti ‘ok’ lagi.

“Tapi kalau terus main wayang, ..kalau ada, saya minta ia dihentikan,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam bagi meraikan pemilihannya sebagai presiden PKR di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar; Menteri Kerja Raya, Baru Bian serta Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari.

Dalam pada itu, Anwar ketika ditemui media selepas majlis turut bersetuju dengan cadangan BERSIH 2.0 supaya undang-undang pilihan raya dipinda supaya setiap menteri persekutuan tidak dibenar menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen.

“Saya setuju, sekarang ini arahan menteri tak boleh kempen, macam yang berlaku pada Port Dickson (Pilihan Raya Kecil Port Dickson).

“Itu memang kita buat dan seharusnya dicontohi oleh semua menteri,” katanya.

Anwar juga berkata, beliau berpuas hati dengan penjelasan Senator Bob Manolan Mohd yang dikatakan mengugut tidak membayar gaji Tok Batin Orang Asli sekiranya tidak menyokong kerajaan.

Berita Harian X