Ahad, 13 Januari 2019 | 7:07pm
KETUA Cabang PKR Balik Pulau, Muhammad Bakthiar Wan Chik - Foto Ramdzan Masiam

Muhammad Bakthiar dilantik pemangku Pengerusi PKR Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM: Ketua Cabang PKR Balik Pulau, Muhammad Bakthiar Wan Chik dilantik sebagai pemangku Pengerusi PKR Pulau Pinang berkuatkuasa hari ini.

Pelantikan itu diputuskan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang dalam mesyuarat pertama yang dipengerusikan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

MPN dalam satu kenyataan di sini, berkata pelantikan Muhammad Bakthiar yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya sebagai pemangku Pengerusi PKR negeri dibuat susulan keputusan Nurul Izzah yang mahu mengundur diri dari memegang jawatan berkenaan.

Kenyataan itu juga menyebut Ketua Cabang PKR Bayan Baru yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Sin dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MPN.

Manakala Naib Presiden MPN disandang Ketua Cabang PKR Kepala Batas merangkap Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Dalam pada itu, MPN negeri mengekalkan Zulkifli Saad sebagai Setiausaha dan Francis Joseph selaku Bendahari.

“MPN Keadilan Pulau Pinang komited memulakan gerakan memacu pasukan baru yang stabil dan dinamik kepada agenda reformasi demi menzahirkan kebajikan yang bermakna buat rakyat negeri ini,” katanya.

Terdahulu MPN negeri mengadakan mesyuarat pertama secara tertutup di Yayasan Aman Penanti, dekat sini, hari ini.

Bagaimanapun, beberapa Ketua Cabang yang menghadiri mesyuarat berkenaan enggan ditemubual pihak media yang menunggu sejak jam 4 petang tadi.

Pada 16 Disember lalu, Nurul Izzah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR serta mengundurkan diri daripada pelantikannya sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Nurul Izzah dalam kenyataannya berkata, keputusan itu sudah pun dimaklumkan kepada kepemimpinan tertinggi PKR dan beliau hanya mahu berkhidmat kepada rakyat sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh tanpa terikat dengan jawatan di dalam parti.

222 dibaca
Berita Harian X