Ahad, 13 Januari 2019 | 3:00pm
NG Suee Lim. - NSTP/Faiz Anuar

Speaker akan maklum kekosongan kerusi Semenyih kepada SPR minggu depan

SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri Selangor dijangkakan membuat pemakluman secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri berhubung kekosongan DUN Semenyih, minggu depan, susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, pagi Jumaat lalu.

Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim, berkata pihaknya tidak akan tergesa-gesa untuk membuat pemakluman itu demi menghormati keluarga Allahyarham yang baru sahaja kehilangan.

“Belum lagi, kita jangka minggu hadapan dalam hari Isnin, Selasa atau Rabu depan.

“Ia bergantung kepada proses seperti mendapatkan sijil kematian dan pengesahan daripada keluarga Allahyarham.

“Bila dapat dan selesai semua baru akan dihantar SPR Negeri. Kita tidak tergesa-gesa kerana menghormati keluarga dalam keadaan kesedihan,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Jumaat lalu, Bakhtiar, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada jam 4.45 pagi akibat serangan jantung.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumah keluarga di Batu 19, Jalan Sungai Lalang, Semenyih, dan disembahyangkan selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Pasir, Semenyih.

Bakhtiar, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), menjadi wakil rakyat di Semenyih selama lapan bulan selepas mengalahkan penyandang kerusi, Datuk Johan Abd Aziz, daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu dengan majoriti 8,964 undi.

Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.

125 dibaca
Berita Harian X