Ahad, 13 Januari 2019 | 2:46pm
ISMAIL Sabri Yaakob. - NSTP/Khairull Azry Bidin

UMNO bincang isu calon, persiapan PRK DUN Semenyih Khamis ini

KUALA LUMPUR: UMNO akan memutuskan isu calon dan persiapan untuk menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih selepas pengurusan UMNO bermesyuarat, Khamis ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata cadangan yang dicapai dalam mesyuarat pengurusan itu akan dibawa ke mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Selangor untuk dibincangkan.

“Kita akan mengadakan mesyuarat pengurusan dan perhubungan negeri untuk membincangkan PRK DUN Semenyih ini. Segala keputusan akan dibuat selepas mesyuarat itu.

“Setakat ini, mesyuarat pengurusan UMNO akan diadakan pada Khamis ini jam 2.30 petang. Cadangan dan keputusan yang dicapai daripada mesyuarat ini akan di bawa ke mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri selepas itu.

“Tarikh mesyuarat Badan Perhubungan Negeri akan ditentukan kemudian,” katanya kepada BH, hari ini.

PRK DUN Semenyih bakal diadakan susulan penyandangnya dari Pakatan Harapan (PH), Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada jam 4.45 pagi Jumaat lalu akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, Bakhtiar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengenepikan penyandangnya dari Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abd. Aziz serta dua calon lagi iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengalahkan Johan daripada UMNO yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

Ia adalah PRK keempat di Selangor dalam tempoh lapan bulan selepas PRU-14. Sebelum ini Selangor mengadakan tiga PRK iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong yang semua kemenangan memihak kepada PH.

Berita Harian X