Ahad, 13 Januari 2019 | 12:11pm
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (tengah) dan isteri, Datin Patinggi Juma'ani Tuanku Bujang (kiri) menghadiri Anugerah Televisyen Asia (ATA) Ke-23 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, semalam. Turut hadir Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (kanan). - Foto BERNAMA

Penubuhan GPS tepat pada masanya - Abang Johari

BINTULU: Penubuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilihat tepat pada masanya dalam meneruskan kesinambungan perjuangan menuntut hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata GPS yang dinaungi empat parti komponen negeri berupaya menjadi platform utuh bagi mempertahankan kepentingan negeri yang terhakis selama ini.

“Harapan besar kita untuk melihat GPS meneruskan usaha mengembalikan hak dan kepentingan negeri di bawah MA63 yang dipelopori Allahyarham Tan Sri Adenan Satem ketika hayatnya.

“Sarawak sebagai rakan kongsi yang menubuhkan Malaysia perlu diberikan layanan sewajarnya sebagai satu wilayah dan bukannya sebagai sebuah negeri semata-mata... ini yang akan kita terus perjuangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tritahunan Parti Demokratik Progresif (PDP dan Penyerahan Bendera GPS di Dewan Suarah Bintulu, di sini, semalam.

Selain Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan PDP, GPS turut dianggotai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) serta Parti Rakyat Sarawak (PRS).

“Kita akan meneruskan tuntutan terhadap hak yang sepatutnya kita dapat selama ini mengikut lunas perlembagaan dan dalam masa sama, akan meneruskan agenda pembangunan bagi membela nasib semua kaum di negeri ini,” katanya.

Beliau yang juga Presiden PBB, berkata apa yang pasti, sebagai sebuah komponen parti yang mesra Pakatan Harapan (PH), kerajaan negeri mempunyai hak dalam membuat perancangan sendiri yang memberikan manfaat kepada pembangunan sosio ekonominya tanpa bergantung kepada pihak luar.

Malah, beliau turut memberi jaminan bahawa urusan pentadbiran serta pembangunan negeri selepas ini berjalan secara lancar tanpa sebarang halangan, sekali gus menjadikan Sarawak sebuah negeri yang kekal membangun mengikut ‘acuan sendiri’.

Berita Harian X