Ahad, 13 Januari 2019 | 11:56am

Tak halang Najib bantu kempen - calon BN

CAMERON HIGHLANDS: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor tidak menghalang mana-mana pihak untuk membantu kempen pilihan rayanya termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, beliau mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk membantunya meraih undi daripada penduduk di daerah ini.

"Saya tak boleh halang sesiapa sahaja (bantu kempen) semua sekali (termasuk Najib).

"Semua pihak (boleh bantu kempen)," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan mesra bertemu pengundi di Tanah Rata di sini, hari ini.

Dalam kempen tinjauan mesra hari pertamanya itu, beliau yang ditemani isteri, Rozana Kamal memperkenalkan dirinya sebagai penduduk tempatan Orang Asli yang menjadi kekuatannya untuk meraih undi.


Calon Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen 078 Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor (dua kanan) cuba memasak murtabak ketika berkempen di Pasar Pagi Tanah Rata, Cameron Highlands. - Foto Abdullah Yusof

Ditanya apakah tahap keyakinannya untuk memenangi PRK kali pertama disertainya itu, Ramli berkata beliau yakin 22 peratus pengundi daripada kaum Orang Asli akan memilihnya sebagai Ahli Parlimen yang baharu.

"Dari Bertam hingga Kampung Hulu (Orang Asli) semua saudara mara saya, pakcik, makcik. Saya harap kaum lain juga dapat menyokong saya," katanya.

PRK Parlimen Cameron Highlands menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan Ramli; calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran serta dua calon BEBAS, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Komposisi kaum berdasarkan data demografi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menunjukkan pengundi Melayu sebanyak 33.44 peratus, Cina (28.42 peratus), India (14.42 peratus) dan lain-lain yang kebanyakannya Orang Asli, 23.67 peratus.

1724 dibaca
Calon Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen 078 Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor (dua kiri) beramah mesra dengan peniaga ketika berkempen di Pasar Pagi Tanah Rata, Cameron Highlands. - Foto Abdullah Yusof
Berita Harian X