Sabtu, 12 Januari 2019 | 4:22pm
CALON Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Sallehudin Ab Talib. - Foto Aizuddin Saad

Isu peneroka FELDA jadi bahan kempen calon Bebas

CAMERON HIGHLANDS: Isu menyelesaikan hutang peneroka FELDA Sungai Koyan akan menjadi antara topik kempen calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Sallehudin Ab Talib untuk meraih undi.

Bekas pensyarah kanan di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang itu berkata, sebagai generasi kedua peneroka, beliau terpanggil untuk menyelesaikan masalah itu sejak sekian lama.

"Di FELDA Sungai Koyan ini masalah hutang-hutang peneroka yang tidak selesai dari dulu lagi jadi itu antara sebab saya bertanding kali pertama ini.

"Selain itu saya berazam untuk meningkatkan taraf dan kos sara hidup rakyat termasuk pendidikan dan kemudahan asas bagi masyarakat Orang Asli di sini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di pusat penamaan calon PRK Cameron Highlands di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata di sini hari ini.

PRK Parlimen Cameron Highlands menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan dua calon bebas.

Ia membabitkan calon Pakatan Harapan (PH); M Manogaran, calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Noor serta dua calon Bebas iaitu Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Pertandingan itu disahkan selepas Pegawai Pengurus PRK Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis mengumumkan senarai calon yang bertanding dalam PRK itu.

Ia diumumkan sebaik tempoh proses penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata ditutup tepat pada 10 pagi selepas dibuka 9 pagi tadi.

637 dibaca
Berita Harian X