Sabtu, 12 Januari 2019 | 4:16pm

Misi 4 calon bawa suara Cameron Highlands

CAMERON HIGHLANDS : Empat calon yang disahkan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, masing-masing memiliki fokus dan misinya tersendiri dalam membawa suara rakyat di kawasan itu ke Dewan Rakyat.

Menariknya, empat calon itu bukan hanya memiliki latar belakang berbeza, mereka turut menampilkan imej etnik utama yang menginap di kawasan peranginan Cameron Highlands iaitu Melayu, Cina, India dan Orang Asli.

Bagi calon Pakatan Harapan, M Manogaran, selain daripada bertemu kesemua pengundi di kawasan ini sepanjang tempoh berkempen, beliau juga mahu masalah dihadapi masyarakat di sini didengari, bukan hanya wakil rakyat, tetapi kerajaan.

"Sepanjang tempoh berkempen ini, tumpuan kami adalah pergi ke seluruh tempat untuk jumpa seramai mungkin pengundi, supaya kita boleh terangkan dasar Pakatan Harapan yang boleh bawa kita ke depan.

"Jika saya diberi peluang, (saya) akan bawa masalah yang ada di sini ke (pengetahuan) Putrajaya. Mesej saya mahukan supaya (berlangsungnya) pilihan raya yang bebas dan bersih untuk Malaysia," katanya.

Beliau berkata, semua pihak perlu sedar punca utama PRK ini diadakan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati wujudnya amalan rasuah membabitkan wakil rakyat terdahulu dan ia mesti menyedarkan semua pihak termasuk wakil calon dari parti kerajaan.

Manogaran yang sudah tiga kali bertanding di kerusi parlimen itu akan ditentang calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Noor serta dua calon Bebas, Salehuddin Ab Talib serta Wong Seng Yee.

Bagi Ramli pula, peluang yang diberikan oleh BN akan digunakan sebaiknya bagi memastikan parti yang diwakili itu mengekalkan kemenangan dalam PRK kali ini.

"Undi BN..undilah saya," kata ringkas beliau apabila diajukan soalan oleh media mengenai misi dan halatujunya sepanjang tempoh berkempen bermula semalam sehingga 25 Januari ini.

Semalam, usaha untuk bertanyakan soalan lebih lanjut kepada Ramli juga tidak berjaya biarpun diasak berulang kali oleh media yang membuat liputan sepanjang hari penamaan calon PRK Cameron Highlands, berlangsung di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah di sini.

Sementara itu, calon Bebas, Sallehuddin Ab Talib, berkata beliau akan mengetengahkan isu yang dihadapi masyarakat FELDA sepanjang tempoh berkempen ini.

Kata bekas pensyarah kanan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang itu, isu hutang peneroka mesti diberi perhatian memandangkan ia kini memberi kesulitan kepada masyarakat peneroka.

"Di FELDA Sungai Koyan ini masalah hutang-hutang peneroka yang tidak selesai dari dulu lagi, jadi itu antara sebab saya bertanding kali pertama ini.

"Saya juga berazam untuk meningkatkan taraf dan kos sara hidup rakyat termasuk pendidikan dan kemudahan asas bagi masyarakat Orang Asli di sini," katanya.

Seorang lagi calon Bebas, Wong Seng Yee, 40, mahu isu membabitkan petani diberi perhatian sepanjang tempoh kempennya.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Horticultural dari University of Nebraska-Lincoln Amerika Syarikat, pemilik ladang yang juga pengeksport bunga ke Jepun dan Australia itu berkata, penampilan sedemikian akan memudahkannya mendekati pengundi terutama masyarakat petani.

"Sebagai penduduk tempatan, saya mahu memperkasakan sektor pertanian yang akan menjadi antara bahan kempen sehingga hari pengundian 26 Januari ini.

"Saya juga amat menitikberatkan pembangunan pertanian selain alam sekitar, pelancongan dan program menaiktaraf ekonomi masyarakat Orang Asli," kata bapa kepada empat anak itu, yang memiliki ladang bunga seluas kira-kira 10 ekar (empat hektar) di Bertam Valley di sini.

458 dibaca
(DARI kiri) Sallehuddin Ab Talib, Wong Seng Yee, Ramli Mohd Noor dan M Manogaran bergambar bersama pada proses penamaan calon PRK Cameron Highlands berlangsung di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah. - Foto Aizuddin Saad
Berita Harian X