Sabtu, 12 Januari 2019 | 3:35pm
NAIB Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Lee Kim Shin hadir pada Program Jelajah Bendera GPS di Dewan Suarah Miri, malam tadi. - Foto Kandau Sidi

GPS utamakan keperluan rakyat Sarawak

MIRI: Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi keutamaan terhadap segala keperluan rakyat Sarawak dalam prinsip perjuangan parti itu.

Naib Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Lee Kim Shin, berkata sebagai parti yang diasaskan anak tempatan, ketetapan perjuangan itu sesuai dengan logo berbentuk burung kenyalang.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu berkata, parti itu akan bertekad untuk melindungi hak dan kepentingan Sarawak dan rakyatnya.

“Penubuhan GPS bakal membawa lembaran baharu kepada pembangunan politik di Sarawak. Kerajaan negeri yang kini di bawah GPS juga boleh memperkenalkan dasar, keputusan dan perancangan tanpa dipengaruhi pihak luar,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Bendera GPS di Dewan Suarah Miri, malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin itu berkata, GPS perlu bersifat mesra rakyat dalam memastikan gabungan itu terus relevan sepanjang masa.

Miri menjadi destinasi ketiga hentian rombongan jelajah bendera GPS selepas Lawas dan Limbang.

Sementara itu, Ketua Pemuda SUPP, Michael Tiang, berkata penubuhan GPS adalah landasan tepat untuk membolehkan anak Sarawak memajukan negeri ini mengikut acuan sendiri.

Beliau berkata, GPS yang membabitkan empat parti komponen tempatan perlu sentiasa bekerjasama bagi memastikan Sarawak terus harmoni dan maju.

72 dibaca
Berita Harian X