Sabtu, 12 Januari 2019 | 1:50pm
WONG Seng Yee. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

But getah kuning, topi mengkuang jadi seragam kempen

CAMERON HIGHLANDS: Penampilan petani dengan memakai but kuning ala Phua Chu Kang dan topi mengkuang akan menjadi seragam calon Bebas, Wong Seng Yee, 40, menemui pengundi sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

Pemilik ladang berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Horticultural dari University of Nebraska-Lincoln Amerika Syarikat dan pengeksport bunga ke Jepun dan Australia itu berkata, penampilan sedemikian akan memudahkannya mendekati pengundi.

“Saya rasa ini cara unik dan lebih mesra tambahan pula saya juga adalah seorang petani yang memiliki ladang bunga seluas kira-kira 10 ekar (empat hektar) di Bertam Valley.

“Sebagai penduduk tempatan, saya mahu memperkasakan sektor pertanian yang akan menjadi antara bahan kempen sehingga hari pengundian 26 Januari ini.

“Saya juga amat menitikberatkan pembangunan pertanian selain alam sekitar, pelancongan dan program menaik taraf ekonomi masyarakat Orang Asli,” katanya ketika ditemui wartawan NSTP di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata di sini hari ini.

Keempat-empat perkara itu, katanya, akan menjadi fokus kempen yang akan dijenamakan sebagai Program Kelestarian Untuk Cameroon Highlands.

Mengulas lanjut, bapa kepada empat anak berusia 11 dan lima tahun itu berkata, usaha untuk meningkatkan ekonomi Orang Asli termasuklah memberi latihan berpusat untuk meningkatkan kemahiran komuniti perladangan.

“Ini sekali gus dapat menampung kekurangan tenaga kerja di sektor pertanian di daerah ini. Selain itu, saya juga akan cuba wujudkan satu platform jual beli dalam talian untuk memudahkan petani memasarkannya pada kualiti lebih baik.

“Usaha ini juga diharap dapat mengurangkan pembabitan orang tengah untuk menjual hasil tanaman,” katanya.

518 dibaca
Berita Harian X