Sabtu, 12 Januari 2019 | 1:36pm
(DARI kiri) Penerima anugerah pelatih terbaik latihan asas konstabel, G Suganiya, Muhammad Zulhilmi Halim, Abdul Munir dan Muhammad Rahimi Hussin sempena Perbarisan Tamat Latihan Asas Kepolisan Konstabel Lelaki dan Wanita siri 05/2018 di PULAPOL Air Hitam. - NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap

Pengorbanan isteri mahu jadi polis

JEMPOL: Pengorbanan seorang isteri sanggup meninggalkan suami yang baru dikahwini bagi mengikuti Program Latihan Asas Kepolisan Konstabel (PLAK) Siri 5/2018 selama enam bulan ternyata membuahkan hasil apabila menerima Anugerah Latihan Terbaik Luar (Wanita).

G Suganiya, 27, dari Alor Gajah, Melaka, baru sebulan mendirikan rumah tangga dengan suaminya, S Kesavan, 27, sebelum ditawarkan menyertai program berkenaan, pada Jun tahun lalu.

Katanya, biarpun pada awalnya berat hati untuk meninggalkan suami, atas sokongan suaminya yang mahu dia meneruskan impian untuk menjadi anggota polis mendorong dia menerima tawaran itu.

“Saya bercita-cita untuk menjadi anggota polis sejak di bangku sekolah dan memohon untuk mengikuti program berkenaan sejak dua tahun lalu.

“Saya tidak sangka selepas berkahwin, saya mendapat tawaran ini. Saya bertuah kerana suami memberi sokongan dan mengizinkan saya mengikuti latihan terbabit,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perbarisan Tamat PLAK di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Air Hitam di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dengan 358 pelatih berjaya menamatkan latihan.

Sementara itu, bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Muhammad Zulhilmi Halim, 25, berkata walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, dia tidak kisah menjadi anggota konstabel.

Muhammad Zulhilmi yang menerima Anugerah Terbaik Akademik itu berkata, dia akan berusaha di peringkat bawah untuk menjadi seorang pegawai polis yang berjaya suatu hari nanti.

“Saya amat meminati pasukan pakaian seragam sejak kecil menyebabkan saya memilih menyambung pengajian di UPNM dan sebaik tamat pengajian saya memohon mengikuti program latihan ini,” katanya.

Dua lagi pelatih iaitu Abdul Munir Umar, 21, menerima Anugerah Terbaik Keseluruhan manakala Muhammad Rahimi Hussin, 21, menerima Anugerah Terbaik Latihan Luar (Lelaki).

1270 dibaca
Berita Harian X