Sabtu, 12 Januari 2019 | 12:28pm
DATUK Seri Mukhriz Mahathir - Foto Aizuddin Saad

Siasatan BERSATU Perlis untuk kukuhkan integriti - Mukhriz

ALOR SETAR: Siasatan membabitkan kemelut dalaman yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perlis akan diketahui dalam tempoh terdekat.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang memandang serius dakwaan terbabit memandangkan parti itu sangat berpegang teguh dengan integriti.

Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata, kenyataan yang dibuat Setiausaha BERSATU Perlis, Wan Saiful Wan Jan, perlu diambil serius disusuli laporan polis yang dibuat.

Beliau berkata, BERSATU adalah sebuah parti yang menekankan integriti dan pastinya apabila berlaku dakwaan yang serius maka siasatan menyeluruh perlu dilakukan.

“Sebab itulah berkuat kuasa serta-merta, ibu pejabat BERSATU yang diketuai Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya, mengambil alih kepemimpinan BERSATU Perlis bagi membolehkan siasatan dibuat dan meredakan keadaan.

“Malah semua jawatan di kepemimpinan BERSATU Perlis juga dibekukan termasuk tindakan pengguguran Wan Saiful sebagai Setiausaha.

“Selepas siasatan selesai dalam tempoh terdekat, barulah tindakan membatalkan pembekuan atau perlantikan akan dibuat. Semuanya bergantung kepada siasatan yang dilakukan yang turut mendapat perhatian Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan bersama Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah kayuhan Fun Ride 40km program prapelancaran perlumbaan basikal sempena Red Eagle Tour 2019 di Medan Bandar Alor Setar di sini hari ini.

Khamis lalu, NSTP melaporkan ibu pejabat BERSATU mengambil alih kepemimpinan BERSATU Perlis berikutan kemelut dalaman yang melanda parti di negeri berkenaan.

Marzuki berkata keputusan pimpinan pusat itu dibuat dalam mesyuarat bersama Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam mengikut Fasal 14, Perlembagaan BERSATU bagi menyelesaikan konflik berkenaan.

Kemelut dalaman BERSATU Perlis bermula selepas pengguguran Wan Saiful dengan alasan faktor kesihatan, bagaimanapun Wan Saiful kemudian mendakwa pengguguran itu dibuat atas faktor lain yang membabitkan krisis integriti kepemimpinan BERSATU Perlis.

Konflik dalaman itu turut mengundang Marzuki campur tangan sebelum ini sehingga beliau mengakui bahawa BERSATU Perlis mempunyai masalah sejak ia ditubuhkan pada awal lagi.

265 dibaca
Berita Harian X