Jumaat, 11 Januari 2019 | 10:33pm
Wanita PKR berharap calon wanita diberi peluang bagi mengisi kekosongan jawatan dalam parti yang ditinggalkan Nurul Izzah. - Arkib NSTP

Harap calon wanita dilantik ganti Nurul Izzah

KUALA LUMPUR: Wanita PKR berharap calon wanita diberi peluang bagi mengisi kekosongan jawatan dalam parti yang ditinggalkan Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Ketuanya, Haniza Mohamed Talha, berkata Wanita PKR menyokong sekiranya kepimpinan tertinggi parti memilih calon wanita sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang dan Naib Presiden parti itu kerana ramai wanita dalam parti layak mengisi jawatan itu.

“Kita (Wanita PKR) lebih suka sekiranya calon wanita dilantik (mengisi kedua-dua jawatan), tetapi kita tidak juga mengetepikan jika ada calon yang lebih baik. Dalam PKR, ramai wanita ada rekod pencapaian yang baik.

“Kita tidak mahu mengawal tindakan presiden (melantik pengganti Izzah), kita berharap secara demokrasi akan memilih calon terbaik dan pilihlah wanita,” katanya kepada pemberita pada Majlis Minum Petang Wanita PKR bersama Media, di Ampang, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, timbalannya, Dr Daroyah Alwi serta semua kepimpinan Wanita PKR pusat dan negeri.

Pada 17 Disember lalu, Nurul Izzah mengumumkan peletakan semua jawatannya dalam parti dan berkaitan dengan kerajaan. – BERNAMA

1537 dibaca
Berita Harian X