Jumaat, 11 Januari 2019 | 6:50pm
Zainul (kiri) pada sidang media berhubung pembukaan Bilik Gerakan sempena PRK Cameron Highlands di Pejabat SPRM Perak di Ipoh, hari ini. - NSTP/L Manimaran

SPRM terima satu maklumat kesalahan bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya

IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak menerima satu maklumat mengenai kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berlaku menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Pengarahnya, Datuk Zainul Darus, berkata maklumat yang diterima telah dihantar kepada pihak ibu pejabat SRPM untuk tindakan lanjut.

"Kesalahan itu di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya, contohnya bagi jamuan, bagi sumbangan, jadi kita akan tengok sama ada itu ada kesalahan di bawah akta itu atau tidak, kita akan tengok.

"Tidak semestinya bagi makan itu satu kesalahan, jadi kita tengok pandangan daripada pihak pendakwa raya juga," katanya pada sidang media berhubung pembukaan Bilik Gerakan sempena PRK Cameron Highlands di Pejabat SPRM Perak di sini, hari ini.

Zainul berkata, Bilik Gerakan yang beroperasi selama 24 jam itu dikendalikan oleh SPRM negeri berikutan jarak yang dekat dengan kawasan tanah tinggi itu.

"Bilik Gerakan ada dua, satu di Ipoh dan satu lagi di Cameron Highlands. Bilik ini akan dibuka esok selama 24 jam di mana kita akan menerima apa sahaja maklumat berkaitan kesalahan rasuah di bawah Akta SPRM 2009 dan juga di bawah Akta-akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 Pindaan 2012.

"Lima pegawai SPRM yang bertindak sebagai 'undercover' (menyamar) akan ditempatkan di sana dan sekiranya ada keperluan untuk menambah bilangan pegawai, kita akan tambah," katanya.

Zainul berkata, SPRM Perak juga akan bekerjasama dengan SPRM Pahang dan bilik gerakan ini akan beroperasi bersama-sama dengan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Peguam Negara.

"Selain itu kita juga akan menempatkan pegawai 'mobile' (bergerak) di sekitar kawasan PRK yang akan memantau berkaitan dengan apa sahaja aktiviti termasuk ceramah.

"Jadi saya mohon kepada masyarakat di sekitar Cameron Highlands atau mereka yang terbabit dalam PRK ini agar menyalurkan apa-apa maklumat yang berkaitan kesalahan kepada pihak kami," katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat ke Bilik Gerakan Utama di SPRM Perak, di Plot 7, Persiaran Meru Utama, Bandar Meru Raya atau menghubungi 05-5267000 sambungan 163 atau emel kepada prk@sprm.gov.my

Bilik Gerakan SPRM Perak di Cameron Highlands pula berada di CH Merlin Inn di No 9, Jalan Tanah Perdah, Tanah Rata atau boleh dihubungi di talian 019-6002041.

1097 dibaca
Berita Harian X