Jumaat, 11 Januari 2019 | 6:14pm
PENGANALISIS politik, Mujibu Abd Muis. - Foto Faiz Anuar

Saingan 5 penjuru dijangka berlaku di PRK Cameron Highlands

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dijangka sengit dengan pertembungan sekurang-kurangnya lebih lima penjuru, kata penganalisis politik.

Setakat petang ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang mengesahkan sembilan set borang pencalonan telah dijual sebelum hari penamaan calon, esok.

Difahamkan, parti yang membeli borang penamaan calon adalah Pakatan Harapan (satu set borang); Parti Progresif Rakyat (MyPPP) (dua set borang); Barisan Nasional (BN) (satu set borang) dan tiga set borang untuk calon Bebas.

Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis, berkata saingan sengit PRK Cameron Highlands sudah dijangka susulan, PRK apabila diadakan semula akan menyaksikan pertembungan lebih tiga penjuru.

“(Saingan sengit) Sudah dijangka. Selalunya, kawasan campuran atau kawasan pengundi bukan Melayu cenderung, ada kebarangkalian calon bebas bertanding.

“Begitu juga (ramai calon Bebas) ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas kemungkinan berlaku pertembungan lebih lima penjuru, susulan pertambahan jualan borang penamaan calon untuk PRK Cameron Highlands.

Mujibu, yang juga Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara ( UiTM) mengakui pertaruhan anak tempatan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

“Cameron Highlands kawasan tradisi BN, MIC. Ada peluang menang bersandarkan beberapa faktor, antaranya, PAS tidak meletak calon, jadi undi Melayu ada kemungkinan diberi kepada BN.

“Calon Orang Asli, Ramli Mohd Nor (BN) mengiktiraf kelompok yang dominan di Cameron Highlands.

“Calon bebas yang bertanding, seperti Tan Sri M Kayveas, mungkin hanya mampu tarik undi seperti Tan Sri Isa Samad, ketika PRK Port Dickson,” katanya.

Ditanya strategi PH mempertaruhkan calon ‘recycle’, Mujibu menjelaskan PH mempunyai sentimen positif dalam kalangan rakyat selepas berjaya menurunkan harga petrol.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan sentimen pengundi terhadap isu melingkari PH seperti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD), gagal menunaikan janji manifesto dan kelembapan ekonomi.

“Atas kertas mungkin PH ada kelebihan tetapi PRU-14 dan PRK 2019, berbeza. Sebarang isu (sentimen) boleh mempengaruhi pola pengundian,” katanya.

Penganalisis politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, menjangkakan calon Bebas akan hilang wang deposit.

“Biasanya calon bebas (kacau undi) dan tidak akan beri kesan besar (tekanan) kepada calon utama,” katanya.

Ditanya ramalan keputusan PRK Cameron Highlands, Nik Ahmad Kamal berkata kemungkinan undi pengundi India akan beralih sokongan, selepas BN mempertaruhkan calon Orang Asli.

“Pengundi India anggap (Cameron Highlands) kawasan tradisi MIC. Jadi bila BN meletak calon bukan India, mereka mungkin akan beralih sokongan.

“Saya jangkakan undi Melayu mungkin akan bertambah untuk BN kerana penyokong PAS, akan bantu undi BN,” katanya.

PRK Cameron Highlands diadakan semula selepas Parlimen dimenangi BN menerusi calonnya, Datuk C Sivarraajh pada PRU-14, diisytiharkan kosong oleh Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu.

Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen berkenaan yang membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 menewaskan M Manogaran dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) (9,710 undi); Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).

Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu, memohon pengisytiharan keputusan PRU-14 untuk kerusi Parlimen itu terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

1416 dibaca
Berita Harian X