Jumaat, 11 Januari 2019 | 4:43pm
ROMBONGAN jelajah ke seluruh negeri oleh Ahli Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi mendekati rakyat di peringkat akar umbi disambut oleh penduduk Lawas. - Foto ihsan GPS

GPS bawa semangat perjuangan baharu untuk 'Anak Sarawak'

LAWAS: Selepas melancarkan logonya di Bandaraya Kuching kelmarin, Gabungan Parti Sarawak (GPS) memulakan siri jelajahnya di seluruh negeri, di sini, hari ini, khusus bagi mendekati rakyat di peringkat akar umbi.

Ia antara usaha memperkenalkan gabungan pertubuhan politik tempatan itu dalam kalangan ‘Anak Sarawak’, selain penyerahan logo dan benderanya kepada wakil bahagian serta rantingnya di seluruh negeri.

Selain Lawas, rombongan jelajah turut berkunjung ke Limbang, Miri, Bintulu, Mukah, Selangau, Sibu, Kapit, Sarikei, Betong, Sri Aman, Balai Ringin, Serian, Siburan, Bau, Lundu, Asajaya dan berakhir di Sadong Jaya.

Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Gerald Rentap Jabu yang juga Ketua Konvoi Jelajah GPS berkata, program berkenaan bukan sekadar mahu memperkenalkan gabungan itu.

Sebaliknya, ia menjadi platform untuk memperjelaskan kepada ‘Anak Sarawak’ mengenai hala tuju GPS sebagai wadah perjuangan hak dan kepentingan negeri ini seiring perubahan senario politik semasa negara.

“GPS menguasai kepemimpinan kerajaan negeri ketika ini. Hanya GPS satu-satunya parti yang mempertahankan hak dan kepentingan Sarawak serta anak negeri yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“GPS perlu juga dilihat sebagai ‘benteng pertahanan’ rakyat negeri ini untuk melindungi hasil bumi Sarawak, sekali gus dimanfaatkan untuk pembangunan negeri dan sosioekonomi rakyatnya bagi tempoh jangka panjang,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Kemuncak Program Konvoi Jelajah GPS adalah pada 19 Januari ini dengan majlis pelancaran besar-besaran gabungan politik itu oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Bagi Rentap, GPS satu-satunya gabungan entiti politik tempatan yang memahami kehendak dan keperluan Sarawak, begitu juga segenap lapisan rakyat negeri ini.

Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar berharap ‘Anak Sarawak’ dapat memberi sokongan berterusan terhadap GPS sebagai wadah perjuangan mereka.

Selain PBB, GPS turut dianggotai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP).

Berita Harian X