Jumaat, 11 Januari 2019 | 4:27pm
PENGERUSI Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Fuziah Salleh berucap selepas melakukan lawatan ke Bilik Gerakan PH Sungai Koyan, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang

PRK Cameron Highlands dijangka sengit

LIPIS: Pakatan Harapan (PH) tidak akan memberi laluan mudah kepada Barisan Nasional (BN) untuk terus mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Fuziah Salleh, berkata walaupun BN menampilkan calon Orang Asli, Ramli Mohd Nor, untuk PRK kali ini, strategi itu dilihat sebagai peluang untuk PH menarik sokongan kaum itu melalui isu yang dihadapi mereka sejak sekian lama dan gagal diselesaikan kerajaan terdahulu.

“Taktik mereka (BN) meletakkan calon daripada masyarakat Orang Asli bukanlah kelebihan kepada mereka... kita ingin bertanya kepada BN, apakah sumbangan calon berkenaan (ketika kerajaan Pusat dipimpin oleh BN) kepada penduduk (Orang Asli) di Cameron Highlands?

“Apakah beliau ada membantu menyelesaikan isu tuntutan tanah adat yang diperjuangkan masyarakat Orang Asli sebelum ini? Adakah beliau ada membantu masyarakat Orang Asli meningkatkan taraf ekonomi dan kehidupan mereka selama ini?

“Kalau sekarang baharu nak mula (perjuangkan) dengan meletakkan calon daripada masyarakat Orang Asli, ini bukanlah satu tindakan bijak... kita (PH) sejak dulu lagi memperjuangkan nasib mereka (Orang Asli), ketika kita masih bukan kerajaan dan sampailah sekarang, apabila dipilih sebagai kerajaan Pusat, perjuangan kita (membela nasib Orang Asli) adalah konsisten dan bukanlah bermusim,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, berkata demikian pada media selepas melakukan lawatan ke Bilik Gerakan PH Sungai Koyan, dekat sini, hari ini.

Fuziah berkata, PRK kali ini bakal menyaksikan saingan sengit dan berharap 32,008 pengundi di kawasan Parlimen Highlands dapat membuat pilihan terbaik dan tepat pada 26 Januari ini.

“Memang kita boleh jangkakan PRK kali ini agak sengit dengan PH kini adalah kerajaan Pusat dan BN pula sebagai kerajaan negeri, jadi masing-masing ada kelebihan untuk menggerakkan jentera pilihan raya, saya harap jentera PH pun tidaklah merasakan terlalu selesa,” katanya.

Kerusi Parlimen itu dimenangi BN menerusi calonnya, Datuk C Sivarraajh pada PRU-14, namun diisytiharkan kosong oleh Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu.

Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen berkenaan yang membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 menewaskan M Manogaran dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) (9,710 undi); Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).

Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu, memohon pengisytiharan keputusan PRU-14 untuk kerusi Parlimen itu terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Berita Harian X