Khamis, 10 Januari 2019 | 8:11pm
DR Awang Azman Awang Pawi

PRK Cameron Highlands: Peluang PH, BN agak seimbang

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands disifatkan pertandingan cukup menarik dan mencabar, dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang agak seimbang.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya, berkata hal ini berdasarkan beberapa faktor diperhatikannya.

Menurutnya, dari sudut calon iaitu BN memilih Orang Asli memberikan satu kelebihan buat mereka, dengan peratus nisbah untuk menang antara BN dan PH 51:49.

“Kita lihat pertandingan begitu mencabar. Dengan perbezaan kecil nisbah ini, saya kira BN boleh gerakkan lagi jentera.

“Namun harus diingat, PH adalah kerajaan di peringkat persekutuan, yang mempunyai pelbagai jentera.

“(Dari aspek pengundi) apabila undi kaum India pecah saja, PH boleh menang. Undi Melayu pecah, BN kalah teruk. Kita kena akur UMNO, MCA, MIC (sudah) tak kuat,” katanya yang turut akui undi kaum Cina ‘solid’ kepada PH.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini, bagi mengulas mengenai peluang calon bertanding memenangi PRK Cameron Highlands akan datang.

PH menamakan bekas calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) M Manogaran manakala BN menurunkan Ramli Mohd Nor, iaitu Orang Asli suku Semai. Presiden MyPPP Tan Sri M Kayveas juga dilaporkan menawarkan diri sebagai calon.

Awang Azman berkata, medan terbabit akan melihat sejauh mana PAS dapat membawa hampir 4,000 pengundinya untuk membantu BN dan menguji kepimpinan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang menjalankan tugas presiden parti itu.

“Undi BN boleh berpecah terutama jika MyPPP bertanding. Saya jangka empat atau lima penjuru akan berlaku termasuk dengan calon bebas,” katanya.

Komposisi kaum berdasarkan data demografi PRU14 menunjukkan pengundi Melayu di kawasan itu sebanyak 33.44 peratus, Cina (28.42 peratus), India (14.42 peratus) dan lain-lain (kebanyakannya Orang Asli) 23.67 peratus.

631 dibaca
Berita Harian X