Khamis, 10 Januari 2019 | 6:26pm
SETIAUSAHA Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya. - Foto Azhar Ramli

Ibu pejabat ambil alih kepemimpinan BERSATU Perlis

PUTRAJAYA: Berkuat kuasa serta-merta, ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan mengambil alih kepemimpinan BERSATU Perlis berikutan kemelut dalaman yang melanda parti di negeri berkenaan.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya, berkata keputusan pimpinan pusat itu dibuat dalam mesyuarat bersama Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam mengikut Fasal 14, Perlembagaan BERSATU bagi menyelesaikan konflik berkenaan.

Beliau berkata, parti itu juga akan memastikan tiada sebarang kenyataan dikeluarkan mana-mana pihak dan tiada sesiapa yang boleh mengatakan kenyataannya mewakili BERSATU Perlis selepas ini termasuk Pengerusi BERSATU negeri, Ameir Hassan.

“Semua urusan pentadbiran akan diambil alih ibu pejabat di bawah pengelolaan saya sebagai Setiausaha Agung dan pada hujung bulan ini, saya akan mengadakan perjumpaan dengan semua barisan kepemimpinan Perlis untuk mencari jalan penyelesaian.

“Kita tidak akan mengumumkan sesiapa pun sebagai pengerusi negeri sehinggalah kita menyelesaikan kemelut ini,” katanya yang juga Timbalan Menteri Luar kepada NSTP di pejabatnya di sini, hari ini.

Kemelut dalaman BERSATU Perlis bermula selepas pengguguran Setiausahanya, Wan Saiful Wan Jan, dengan alasan faktor kesihatan, bagaimanapun Wan Saiful kemudian mendakwa pengguguran itu dibuat atas faktor lain yang membabitkan krisis integriti kepemimpinan BERSATU Perlis.

Konflik dalaman itu turut mengundang Marzuki campur tangan sebelum ini sehingga beliau mengakui bahawa BERSATU Perlis mempunyai masalah sejak ia ditubuhkan pada awal lagi.

Kelmarin, Ameir menyatakan, Marzuki seharusnya mendapatkan penjelasan daripada kedua-dua pihak sebelum menghukum kepemimpinan BERSATU Perlis yang dikatakan bermasalah.

Marzuki berkata, selepas pengambilalihan pentadbiran itu, Ameir tidak akan lagi menjalankan fungsi sebagai Pengerusi BERSATU Perlis dan hanya akan menjalankan tugasnya sebagai Ketua Bahagian.

Katanya, seluruh kepemimpinan BERSATU Perlis kemungkinan akan dirombak selepas kemelut itu diselesaikan.

“Tidak ada sesiapa pun yang boleh berkata beliau adalah Pengerusi negeri sehinggalah kita membuat keputusan mengenai lantikan baharu.

“Kita sudah sediakan surat berhubung perkara ini dan akan menghantarnya kepada saudara Ameir bersama kenyataan keputusan ini,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan pengambilalihan itu akan mengeruhkan lagi keadaan, Marzuki berkata beliau yakin kemelut itu dapat diselesaikan.

“Kita ambil alih kepemimpinan negeri ini untuk menyelesaikan masalah. Jadi, kita tidak akan menggugurkan mana-mana pihak sehingga kita membuat keputusan mengenainya. Itu adalah tempoh untuk saya mengadakan rundingan,” katanya.

Selain itu, Marzuki turut mengingatkan ahli BERSATU supaya patuh kepada perlembagaan dan peraturan parti, serta tidak membuat keputusan mengikut pertimbangan sendiri.

Katanya, sebarang keputusan memerlukan penilaian yang teliti, justeru setiap pimpinan dan ahli parti perlu lebih berhati-hati dan memahami kedudukan perlembagaan sebelum membuat keputusan.

“Sebagai contoh, anda tidak boleh membuat keputusan untuk pecat memecat kerana ia bukan budaya dalam perlembagaan kita.

“Bila kita melantik orang itu, bermakna kita percaya pada orang itu tapi janganlah selepas melantiknya seminggu dua, kita pecat orang itu. Ini bermakna kitalah yang salah, bukan orang itu yang salah,” katanya.

416 dibaca
Berita Harian X