Khamis, 10 Januari 2019 | 3:01pm
Datuk Zamree Hamli. - Foto Muhd Asyraf Sawal

PRK Cameron Highlands: 7 borang pencalonan sudah diambil

KUANTAN: Seorang calon BEBAS sudah tampil membeli borang pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, sekali gus menyaksikan sebanyak tujuh borang pencalonan sudah terjual menjelang hari penamaan calon, Sabtu ini.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, Datuk Zamree Hamli, berkata wakil daripada Barisan Nasional (BN) membeli tiga set borang pencalonan, MyPPP dua set borang dan wakil daripada Pakatan Harapan (PH) serta BEBAS pula masing-masing satu set.

“Selain wakil calon daripada parti utama yang menawarkan diri untuk bertanding, kita juga ada mengeluarkan (menjual) borang kepada calon BEBAS dan ini adalah perkara biasa...sesiapa saja boleh mendapatkan borang di pejabat kami.

“Semua borang pencalonan yang diedarkan ini perlu diserahkan di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata antara jam 9 pagi hingga 10 pagi Sabtu ini.

“Jika semuanya berjalan lancar pada hari berkenaan (penamaan calon), pengumuman rasmi calon bertanding pada PRK Cameron Highlands akan dibuat Pegawai Pengurus PRK berkenaan, Datuk Ishak Md Napis, pada jam 11 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, Dewan Gemilang SMK Sultan Ahmad Shah juga akan digunakan sebagai pusat penjumlahan undi pada 26 Januari dan pengumuman keputusan PRK itu akan diumumkan di situ.

Setakat ini, PRK Cameron Highlands menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Pakatan Harapan (PH), BN dan MyPPP.

Calon PH dari DAP, M Manogaran akan berdepan saingan daripada bekas pegawai polis, Ramli Mohd Nor, mewakili BN dan Tan Sri M Kayveas, yang juga Presiden MyPPP.

Pada PRU-14, Datuk C Sivarraajh dari BN memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan 10,307 undi menewaskan Manogaran dan tiga calon lain.

Pada 4 Jun lalu, Manogaran memfailkan petisyen memohon perisytiharan keputusan PRU-14 pada 9 Mei lalu bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang disandang Sivarraajh daripada MIC terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Berikutan itu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan pilihan raya berkenaan terbatal.

Berita Harian X