Khamis, 10 Januari 2019 | 12:05pm
CALON Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen P078 Cameron Highlands, bekas penolong pesuruhjaya polis Ramli Mohd Nor. - Foto Aizuddin Saad

Bekas pegawai polis calon BN di Cameron Highlands

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mengemukakan calon langsung yang tidak mewakili mana-mana parti komponen untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Calon berkenaan, bekas pegawai polis, Ramli Mohd Nor dari suku kaum Semai yang dikenali dalam kalangan penduduk di Cameron Highlands.

Menepati spekulasi berhubung calon itu, Pemangku Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pemilihan calon langsung itu bagi membolehkan BN menang besar pada PRK berkenaan.

Katanya, dalam hal ini BN bukan hanya mempertahankan kerusi tetapi bertanding untuk menang besar kerusi berkenaan.

"Saya yakin 85 peratus kemenangan adalah milik kita," katanya pada sidang media pengumuman calon BN di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Presiden MIC, Tan Sri S Vigneswaran.

Mohamad berkata, Ramli menjadi calon bukan atas keahlian mana-mana parti komponen, sebaliknya calon langsung BN.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi menjaga hati parti komponen terutama MIC yang meminjamkan kerusi tradisi parti itu kepada BN.

“Beliau (Ramli) adalah anak tempatan yang mewakili 22 peratus pengundi di sana (Orang Asli).

“Ramli adalah bekas penjawat awam yang mempunyai rekod yang baik sebagai bekas Penolong Pesuruhjaya Polis yang baharu sahaja bersara dan mempunyai kelayakan Ijazah Sarjana,” katanya

Mohamad beliau yakin dengan kemenangan BN kali ini selepas pihak pembangkang tewas empat PRK sebelum ini.

Mohamad turut mengucapkan terima kasih kepada PAS kerana tidak meletak calon atas dasar muafakat pembangkang.

"Ini juga meningkatkan keyakinan kemenangan kepada kita," katanya.

Dengan pengumuman itu, PRK Cameron Highlands menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Pakatan Harapan (PH), BN dan MyPPP.

Calon PH dari DAP, M Manogaran akan berdepan saingan daripada Ramli dan Tan Sri M Kayveas yang juga Presiden MyPPP.

Pada PRU-14, Datuk C Sivarraajh dari BN memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan 10,307 undi menewaskan Manogaran dan tiga calon lain.

Pada 4 Jun lalu, Manogaran memfailkan petisyen memohon perisytiharan keputusan PRU-14 pada 9 Mei lalu bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang disandang Sivarraajh daripada MIC terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Berikutan itu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan pilihan raya berkenaan terbatal.

Biodata Calon BN

Nama:

* Ramli Bin Mohd Nor

Tempat Lahir:

* Penempatan Orang Asli Batu 12, Jalan Pahang, Gombak, Selangor.

Umur:

*61 tahun

Kerjaya:

* Jawatan terakhir Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman (34 tahun pengalaman dalam perkhidmatan polis)

Akademik:

* Sedang mengikuti program peringkat falsafah kedoktoran (PhD) dalam bidang perniagaan di International University Of Malaya-Wales (IUMW)

* Sarjana Pentadbiran Awam Universiti Terbuka Malaysia (OUM), : : Sarjana Muda Pengajian Perniagaan, University of East London, London.

Keturunan:

*Orang Asli Semai (Bapa Orang Asli Semai, Cameron Highlands, ibu suku kaum Termiar, Gua Musang Kelantan.

Aktiviti:

*Bendahari Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM)

* Pendakwah dalam kalangan komuniti Orang Asli Cameron Highlands

* Aktivis masyarakat Orang Asli di kawasan Cameron Highlands

Berita Harian X