Selasa, 8 Januari 2019 | 8:14pm
TIMBALAN Ketua Cabang PKR Permatang Pauh, Dr Afif Bahardin - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Segera lantik Pengerusi PKR PP sebelum timbul masalah - Dr Afif

BUTTERWORTH: Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh, Dr Afif Bahardin, mempersoalkan peringatan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, terhadap dirinya berhubung gesaan untuk melantik Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Beliau, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, menegaskan bahawa gesaannya adalah wajar memandangkan PKR negeri memerlukan seorang ketua, apatah lagi PKR negeri lain sudah mempunyai Pengerusi masing-masing.

Katanya, beliau meminta lantikan Pengerusi PKR negeri disegerakan kerana setiap keputusan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang membabitkan parti itu dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah.

“Adakah dalam Keadilan (PKR) hari ini sudah tidak boleh bercakap? Saya bercakap berhubung lantikan itu apabila menjawab soalan daripada wartawan berhubung kekosongan Pengerusi PKR negeri pada hari ini.

“Datuk Seri Saifuddin mungkin tidak faham kerana beliau sibuk di Putrajaya dan ingin memaklumkan kepadanya bahawa PKR Pulau Pinang memerlukan ketua kerana ahli-ahli parti perlu bekerja dan beberapa keputusan yang perlu dibuat dalam kerajaan negeri memerlukan persetujuan Pengerusi,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Saifuddin yang mengingatkannya untuk menumpukan perhatian kepada tugas sebagai ADUN dan Exco kerajaan negeri berbanding membangkitkan mengenai isu lantikan Pengerusi PKR negeri.

Dr Afif ditemui ketika mengadakan tinjauan mesra berhubung kempen larangan merokok di Restoran Nasi Kandar Pelita dekat Taman Chai Leng di sini, hari ini.

Saifuddin, dalam satu portal berita hari ini dipetik berkata Dr Afif perlu menghormati Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR dan sepatutnya menunggu sebarang keputusan yang akan dibuat pemimpin itu nanti.

Menurutnya, Dr Afif diminta menumpukan tugas sebagai wakil rakyat dan menyerahkan tugas lantikan berkenaan kepada presiden memandangkan kerja sebagai ADUN dan Exco terlalu banyak untuk dipikul.

Sementara itu, Dr Afif berkata, Saifuddin berhak untuk mengingatkan Anwar berkenaan keadaan parti di negeri ini yang masih belum mempunyai Pengerusi.

“Kita bukan minta untuk melantik sendiri Pengerusi PKR Pulau Pinang, sebaliknya menyerahkan kepada Anwar selaku Presiden parti untuk membuat keputusan dengan segera,” katanya.

510 dibaca
Berita Harian X