Selasa, 8 Januari 2019 | 7:36pm
ANTHONY Loke - Foto Hafiz Sohaimi

Bukan datang untuk berkempen - Anthony Loke

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menafikan kunjungannya ke Cameron Highlands semalam mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen berkenaan pada 26 Januari ini.

Setiausaha Organisasi DAP itu sebaliknya berkata, kunjungannya ke situ atas kapasitinya sebagai menteri dan mesyuarat yang perlu dihadirinya secara kebetulan hampir dengan tarikh PRK berkenaan.

Katanya, beliau turut menghalang calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran daripada menghadiri program dihadirinya kerana sedar akan timbul kritikan berhubung perkara itu.

“Apa yang kami salah guna kuasa? Adakah kami memberi ‘gula-gula’ kepada mereka (penduduk)? Adakah kami memberi sebarang janji?

“Mana boleh hanya disebabkan pilihan raya kecil akan berlangsung, kami perlu menghentikan segala kegiatan dan kerja kami.

“Kami tidak boleh tunggu sehingga pilihan raya selesai untuk menyelesaikan masalah rakyat. Rakyat mengharapkan kami menyelesaikan masalah mereka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

PRK Cameron Highlands diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Datuk C Sivarraajh daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Susulan itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad, menamakan M Manogaran sebagai calon di PRK berkenaan.

Pada PRU-14, Manogaran dari DAP dan tiga calon lain tewas kepada Sivarraajh yang memperoleh 10,307 undi bagi merebut kerusi Parlimen Cameron Highlands.

554 dibaca
Berita Harian X