Selasa, 8 Januari 2019 | 7:14pm
DATUK Seri Ti Lian Ker - Foto Asyraf Hamzah

'Kalau ada, dah lama akaun MCA kena beku' - Lian Ker

KUALA LUMPUR: MCA mempersoalkan tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, yang berterusan menuntut MCA memulangkan dana RM16.5 juta milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa diterima parti itu daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Naib Presidennya, Datuk Seri Ti Lian Ker, berkata MCA percaya dakwaan yang dibangkitkan Guan Eng itu hanya bertujuan mengalihkan perhatian rakyat yang sedang berdepan dengan kenaikan kos sara hidup dan kejatuhan harga komoditi getah serta kelapa sawit di pasaran.

“Rakyat sudah memberi mandat kepada kerajaan untuk bertindak dalam isu 1MDB, tapi jangan membosankan rakyat dengan menjadikan isu 1MDB yang akan dibicarakan di mahkamah untuk mengalihkan isu penting dihadapi ketika ini.

“Kalau MCA menerima dana 1MDB, sudah tentu akaun MCA lama kena beku. Saya fikir isu 1MDB dan MCA ini sengaja dijadikan ‘berita ulangan’ beliau untuk mempengaruhi rakyat.

“Daripada sibuk dengan isu ini, saya cadangkan Guan Eng menumpukan usaha membantu rakyat yang sekarang berdepan dengan kenaikan kos sara hidup di samping kejatuhan harga komoditi getah dan sawit di pasaran ketika ini,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Guan Eng hari ini mendesak MCA dan parti lain yang dikatakan menerima dana daripada 1MDB untuk memulangkannya dan mengingatkan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, tidak ‘cuci tangan’ dalam isu ini.

Ka Siong dilaporkan berkata, sejak beliau menjadi Timbalan Presiden MCA bermula 21 Disember 2014, tidak ada satu sen pun duit 1MDB diterima parti berkenaan.

Bekas Presiden MCA, Tan Sri Dr Chua Soi Lek, pada Oktober tahun lalu mengaku BN mengagihkan RM470 juta kepada komponen parti itu menjelang PRU-13 dengan MCA antara penerimanya.

Bagaimanapun, Lian Ker berkata, MCA tetap menghormati proses undang-undang dalam perbicaraan kes 1MDB dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk bertindak mengikut saluran yang sah.

“Apa saja tindakan sebelum ini, walaupun MCA sekarang dipimpin pemimpin baharu, kalau ada rekod, kita hormati undang-undang tetapi janganlah mengeruhkan lagi keadaan.

“Rakyat sudah beri mandat yang membolehkan kerajaan mengambil tindakan dalam kes 1MDB, maka jangan alihkan isu, tumpu kepada masalah dihadapi rakyat ketika ini,” katanya.

565 dibaca
Berita Harian X