Selasa, 8 Januari 2019 | 11:41am
Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Marzuki Yahya.

Setiausaha Agung BERSATU kena dengar dua belah pihak - BERSATU Perlis

KANGAR: Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Marzuki Yahya perlu mendapatkan penjelasan kedua belah pihak sebelum menghukum kepemimpinan BERSATU Perlis yang dikatakan bermasalah.

Pengerusi BERSATU Perlis, Ameir Hassan, berkata ini kerana setiap pandangan yang dikeluarkan Marzuki adalah ‘fatwa’ kepada ahli BERSATU lain.

Katanya, tidak timbul isu bahawa kepemimpinan BERSATU Perlis mempunyai masalah dalaman yang kronik.

“Beliau (Marzuki) tidak boleh berkata begitu dengan hanya mendengar sebelah pihak, ramai yang kata saya tergugat dengan kehadiran Wan Saiful Wan Jan sehingga kemelut yang berlaku berpunca daripada saya.

“Ini tak betul, saya yang panggil Wan Saiful balik ke Perlis bagi memberi nafas baharu dalam BERSATU negeri dengan harapan dia boleh memimpin di masa hadapan.

“Tapi sangkaan saya meleset kerana pelbagai dakwaan muncul seolah saya iri hati dengan beliau dan ini sesuatu yang amat mengecewakan dalam BERSATU negeri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, BERSATU Perlis menggugurkan Wan Saiful Wan Jan daripada jawatan Setiausaha BERSATU Perlis atas faktor kesibukan beliau, namun ia disangkal oleh Wan Saiful kerana pengguguran itu dibuat atas faktor lain yang membabitkan krisis integriti kepemimpinan BERSATU negeri.

Konflik dalaman itu turut mengundang Marzuki untuk campur tangan sehingga dia mengakui bahawa BERSATU Perlis mempunyai masalah sejak ia ditubuhkan pada awal lagi.

Ameir berkata, dia turut menyangkal dakwaan Wan Saiful bahawa pembabitan beliau dalam pemalsuan dokumen yang dibuat oleh individu dalam BERSATU Perlis.

“Wan Saiful pembohong, pemalsuan itu dilakukan oleh individu berkenaan malah saya yang menyerahkan segalanya kepada dia untuk mengambil tindakan.

“Saya tak pernah menyuruh dia untuk menarik laporan polis yang sudah dibuat kerana ia membabitkan maruah parti. Jadi jangan terlalu ghairah menuduh hingga memburukkan BERSATU Perlis yang sudah berdiri dengan ahli sebelum PRU (Pilihan Raya Umum),” katanya.

1200 dibaca
Berita Harian X