Isnin, 7 Januari 2019 | 4:58pm
SAIFUDDIN Nasution Ismail. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Lebih tertib guna saluran parti sampaikan rungutan - Setiausaha Agung PKR

PUTRAJAYA: PKR menyediakan pelbagai saluran untuk pimpinan parti dan ahlinya mengemukakan sebarang pandangan dan rungutan berhubung hal ehwal parti itu, berbanding menyampaikannya secara terbuka.

Justeru, Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail, berkata adalah lebih baik dan tertib jika saluran itu digunakan sepenuhnya oleh ahli.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, semalam yang mempertahankan tindakannya mempersoalkan pelantikan jawatan utama kepemimpinan parti itu oleh Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka.

“Dalam sesebuah pertubuhan termasuk PKR, proses membuat keputusan dan dasar sangat jelas. Ia ditentukan melalui kongres tahunan, mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat, Biro Politik parti dan Pekeliling Setiausaha Agung dari semasa ke semasa.

“Semua saluran ini tersedia untuk parti sama ada ahli biasa atau pimpinan pusat, negeri atau cabang untuk menyampaikan keluhan dan rungutan.

“Sebagai sebuah parti yang ‘reform’, PKR yang sifatnya dinamik membuka ruang seluas-luasnya kepada pimpinan dan anggota parti supaya memanfaatkan setiap saluran pembuat keputusan dalam parti,” katanya.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 306 kakitangan KPDHEP di sini, hari ini.

Mohamed Azmin semalam, berkata beliau akan terus bersuara sama ada di dalam atau di luar parti dan menjelaskan, tindakannya mengeluarkan kenyataan berhubung pelantikan itu secara terbuka, mengikut saluran yang ditetapkan parti.

Mohamed Azmin, dalam satu kenyataan sebelum ini menyifatkan pelantikan jawatan utama kepemimpinan PKR yang diumumkan Anwar sebagai tidak mencerminkan prinsip perwakilan yang adil dan saksama terhadap aspirasi ahlinya, selain lantikan itu tidak akan membantu parti untuk bergerak ke hadapan.

302 dibaca
Berita Harian X