Isnin, 7 Januari 2019 | 2:56pm
DATUK Lokman Noor Adam - Foto AZIAH AZMEE

BN belum putuskan nama calon PRK Cameron Highlands

KUANTAN: Barisan Nasional (BN) masih belum memutuskan calon daripada parti mana akan mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 26 Januari ini.

Walaupun tempoh untuk hari penamaan calon tinggal tidak sampai seminggu lagi, difahamkan pucuk pimpinan UMNO dan MIC belum dapat memberi kata putus berhubung calon paling sesuai bertanding di kerusi berkenaan.

Terdapat khabar angin mengatakan bahawa antara punca kelewatan pengumuman calon itu adalah disebabkan terdapat desakan dalam kalangan ahli UMNO yang mahu calon daripada parti itu dipilih menggantikan calon daripada MIC.

Sumber dalaman MIC ketika dihubungi berkata, perkembangan itu sangat mengejutkan pimpinan dan ahli MIC memandangkan mereka sudah menggerakkan jentera ke Cameron Highlands sejak Disember lalu.

“Memang ada khabar angin mereka (UMNO) ingin meletakkan calon di sana (Cameron Highlands), tapi ia belum jelas dan boleh disahkan lagi. Perkara (khabar angin) macam ini adalah sesuatu yang sukar dijangka... lagi pun, MIC sudah bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands sejak tahun 2004 lagi, jadi ia (perkembangan ini) bukanlah sesuatu yang boleh membantu usaha mengekalkan kerusi berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Difahamkan, Majlis Tertinggi BN sepatutnya bermesyuarat hari ini bagi memutuskan calon bertanding pada PRK berkenaan, namun ditunda kepada Khamis ini.

Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Julai 2017 pernah mengeluarkan kenyataan bahawa sebanyak 39 daripada 40 Cawangan UMNO Bahagian itu mahu kerusi Parlimen itu ditandingi calon daripada UMNO.

Terbaharu, ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dalam kenyataan media melalui laman sosial Facebook semalam berkata, UMNO sudah mengenalpasti calon paling sesuai untuk diketengahkan bagi PRK itu dan meminta pimpinan daripada UMNO dan MIC boleh mencapai kata sepakat dalam masa terdekat.

Bekas Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengumumkan kerusi Parlimen Cameron Highlands milik MIC dan sepatutnya tidak timbul spekulasi kononnya ia akan diserahkan kepada parti komponen BN yang lain.

Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah dilihat antara nama yang paling layak bertanding di kerusi berkenaan, sehinggalah khabar angin mengenai kemungkinan UMNO meletakkan calon mereka mula tersebar sejak hujung minggu lalu.

Selain nama Wan Rosdy, Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan turut disebut-sebut bakal diletakkan sebagai calon pada PRK itu.

Bagaimanapun, usaha mendapatkan penjelasan mengenai khabar angin terbabit daripada pimpinan UMNO Bahagian Cameron Highlands menemui jalan buntu apabila kebanyakan daripadanya enggan mengulas lanjut.

PRK Cameron Highlands diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan calon BN, Datuk C Sivarraajh pada PRU-14, selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada PRU-14, Sivarraajh yang juga Naib Presiden MIC, menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi, selepas memperoleh 10,307 undi, menewaskan empat calon lain, iaitu calon DAP, M Manogran, yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS - 3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa - 81 undi) dan B Suresh Kumar (PSM - 680 undi).

Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu dengan memohon pengisytiharan bahawa keputusan PRU-14 untuk kerusi itu terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

499 dibaca
Berita Harian X