Ahad, 6 Januari 2019 | 5:35pm

Kayveas tanding PRK Cameron Highlands

KUALA LUMPUR: Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas hari ini menawarkan diri sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang akan diadakan pada 26 Januari ini.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan secara sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Tertinggi MyPPP, hari ini, yang bersetuju untuk meletakkannya sebagai calon pada PRK berkenaan.

“Majlis Tertinggi hari ini memutuskan secara sebulat suara untuk MyPPP bertanding dalam PRK Cameron Highlands dan mereka mencadangkan saya sebagai calon parti.

“Saya bersetuju untuk mencuba dan ini akan menjadikan PRK Cameron Highlands lebih menarik,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi MyPPP di Wisma MyPPP di sini, hari ini.

Kayveas sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk bertanding kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), namun Barisan Nasional (BN) memutuskan kerusi itu ditandingi calon MIC, Datuk C Sivarraajh.

Sehubungan itu, Kayveas yang kecewa dengan keputusan itu mengumumkan MyPPP keluar daripada BN, beberapa hari selepas PRU-14 berakhir.

Pada PRU-14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan 10,307 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran dan tiga calon lain.

Pada 4 Jun lalu, Manogaran daripada DAP memfailkan petisyen memohon perisytiharan keputusan PRU-14 pada 9 Mei lalu bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang disandang Sivarraajh daripada MIC terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Berikutan itu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan pilihan raya berkenaan terbatal.

Ditanya mengenai keyakinannya untuk menang di kerusi itu, Kayveas yang membesar di Cameron Highlands percaya beliau memiliki peluang 50:50 untuk menang berdasarkan maklumat daripada akar umbi.

“Tiada jelas untuk kami menang, tapi peluang itu ada dengan kami bertindak sebagai kuasa ketiga dalam arena politik. Namun, kami adalah ‘underdog’ (bukan pilihan), peluang tipis berbanding calon lain,” katanya.

Mengenai lambang yang akan digunakan MyPPP pada PRK berkenaan, Kayveas berkata, parti itu akan memutuskannya kemudian dan akan diumumkan ketika hari penamaan calon pada 12 Januari ini.

Berhubung isu yang akan dibangkitkan pada PRK itu, Kayveas berkata, isu yang akan diperjuangkannya adalah masalah buruh, tanah, alam sekitar, Orang Asli dan masalah trafik di kawasan peranginan tanah tinggi itu.

Ditanya mengenai pertikaiannya dengan Datuk Seri Maglin D’Cruz yang sebelum ini mendakwa dirinya sebagai Presiden MyPPP yang baharu, Kayveas berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS)

mengesahkan beliau masih presiden parti itu.

“Dalam Perlembagaan MyPPP, kamu tidak boleh singkirkan presiden kecuali melalui Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) atau Mesyuarat Luar Biasa (EGM). Saya sendiri pun tidak boleh letak jawatan.

“Sebelum ini, ROS minta saya selesaikan sendiri dengan Maglin. Saya bertemu dengannya tiga kali, tapi beliau enggan selesaikan,” katanya yang masih membuka pintu untuk Maglin dan kumpulannya kembali bersama MyPPP.

Tan Sri M Kayveas dari MyPPP mengumumkan akan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands pada sidang media di pejabat MyPPP. - Foto Saifullizan Tamadi
Berita Harian X