Ahad, 6 Januari 2019 | 1:36pm
TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bergambar bersama orang ramai pada Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Simfoni Rumah SelangorKU @EcoMajestic di Semenyih, hari ini. - Foto Hafiz Sohaimi

Saya akan terus bersuara sama ada di dalam atau luar parti - Azmin

KAJANG: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempertahankan tindakannya mempersoalkan pelantikan jawatan utama kepemimpinan parti itu oleh presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, tindakannya ‘bersuara’ itu adalah bagi memenuhi aspirasi anggota parti berkenaan.

“Saya akan terus bersuara sama ada di dalam atau di luar parti kerana menjadi tugas saya sebagai Timbalan Presiden,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Simfoni Rumah SelangorKU @EcoMajestic di Semenyih di sini, hari ini.

Mohamed Azmin menjelaskan, tindakannya mengeluarkan kenyataan berhubung pelantikan itu secara terbuka, mengikut saluran yang ditetapkan parti.

“Saudara kena tahu saya jarang keluarkan kenyataan atau membuat sebarang kenyataan politik. Jadi apabila saya mengeluarkan kenyataan, (memang) ada masalah.

“Tetapi itu tidak bermaksud saya tidak mengikut saluran yang betul. Sebelum kenyataan itu dikeluarkan, saya ada berbincang dengan presiden parti.

“Ada masa, kita kena buat kenyataan secara percuma terbuka,” katanya.

Mohamed Azmin dalam satu kenyataan sebelum ini menyifatkan pelantikan jawatan utama kepemimpinan PKR yang diumumkan Anwar sebagai tidak mencerminkan prinsip perwakilan yang adil dan saksama (fair and just representation) terhadap aspirasi ahlinya.

Beliau berkata, lantikan itu juga tidak akan membantu parti untuk bergerak ke hadapan.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, beliau tidak tahu ada cubaan untuk menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri.

“Saya tidak tahu menahu mengenai perkembangan ini. Pada pandangan saya persefahaman dalam Pakatan Harapan (PH) ialah Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat jadi Perdana Menteri dan selepas itu diteruskan oleh Anwar. Persefahaman ini masih kekal,” katanya.

1389 dibaca
Berita Harian X