Rabu, 2 Januari 2019 | 4:15pm
SA Vigneswaran

MIC belum ada calon sesuai?

KUANTAN: Pucuk pimpinan MIC masih belum dapat memuktamadkan calon sesuai bagi mewakili parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang dijadualkan 26 Januari ini.

Walaupun terdapat beberapa individu yang dikatakan mula melobi nama mereka untuk dicalonkan, difahamkan semua nama itu masih dalam pertimbangan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang sudah mula turun ke Cameron Highlands sejak Jumaat lalu.

Antara nama yang bakal dipilih mewakili parti terbesar masyarakat India itu ialah Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah.

Murugiah yang pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika bersama Parti Progresif Penduduk (MyPPP), menyertai MIC selepas parti berkenaan mengalami konflik dalaman.

Selain Murugiah, Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda MIC, P Punithan juga dilihat sebagai antara nama yang berkemungkinan diketengahkan pada PRK berkenaan.

Beliau yang popular dalam kalangan anak muda di kawasan itu, bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada pucuk pimpinan parti.

“Memang ada yang telefon saya memaklumkan perkara ini, namun biarlah pucuk pimpinan buat keputusan... apa yang penting ialah semua pihak terima (keputusan dibuat pucuk pimpinan) dan bekerjasama bagi memastikan kerusi ini dikekalkan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Kerusi Parlimen itu dimenangi BN menerusi calonnya, Datuk C Sivarraajh pada PRU-14, namun diisytiharkan kosong oleh Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu.

Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa terbukti wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan oleh Sivarraajh.

Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen berkenaan yang membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 menewaskan M Manogaran dari PKR (9,710 undi); Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd Tahir Kassim dari BERJASA 81 undi) dan B Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).

Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu, memohon pengisytiharan keputusan PRU-14 untuk kerusi Parlimen itu terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ia berikutan Manogaran mendakwa, Sivarraajh merasuah pengundi daripada komuniti Orang Asli untuk mengundinya.

384 dibaca
Berita Harian X