Ahad, 30 Disember 2018 | 3:02pm
Chieng Jen (kanan) pada sidang media Ibu Pejabat DAP Sarawak, di Kuching, hari ini. - NSTP/Goh Pei Pei

'Jadilah ahli politik matang'

KUCHING: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen menyifatkan desakan supaya beliau meletak jawatan kerana masalah rumput panjang sebagai remeh dan tidak perlu dilayan.

Ahli Parlimen Stampin itu berkata, sepatutnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang, mencari jalan bagi menyelesaikan masalah itu.

“Tidak payahlah membesarkan perkara remeh. Jika ada masalah mari bersama bekerjasama selesaikan masalah dengan lancar dan cekap. Jika rumput panjang di laluan Jalan Persekutuan, kita potong... kalau tidak cukup dana, kita cari jalan.

“Saya membelanjakan RM200 daripada poket sendiri untuk potong rumput dalam kawasan Parlimen saya,” katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat DAP Sarawak, di sini, hari ini.

Chieng Jen berkata Kementerian Kewangan sudah mengesahkan bahawa peruntukan untuk menjaga jalan Persekutuan di Sarawak tidak pernah disekat seperti didakwa Khere Chiang.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah terlebih belanja sehingga dana bagi memotong rumput di jalan Persekutuan tidak mencukupi. Jika dengan Kerajaan Pusat terdahulu, mereka boleh minta peruntukan tambahan kerana tidak perlu menekankan elemen kebertanggungjawaban, namun tidak sekarang,” katanya.

Beliau berkata, Khere Chiang dialu-alukan bekerjasama dengannya untuk menyelesaikan isu terbabit.

“Beliau (Khere Chiang) adalah Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan dan mempunyai kuasa memperuntukkan dana dalam kawasan tadbirannya untuk memotong rumput.

“Ia semudah itu, sekiranya beliau meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan,” katanya.

367 dibaca
Berita Harian X