Ahad, 30 Disember 2018 | 2:23pm
Shamsul Iskandar menyempurnakan majlis penutup program ‘iRUN Hang Tuah Jaya Fun Run 2018’ dan sumbangan kembali ke sekolah di Melaka, hari ini. - NSTP/Khairunisah Lokman

Pelantikan MPP PKR barisan kepimpinan terbaik - Shamsul Iskandar

AYER KEROH: Pelantikan jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang baharu bagi sesi 2018-2021 adalah isyarat jelas yang parti kini diterajui oleh barisan kepimpinan terbaik dan diyakini.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata pelantikan oleh Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu diuruskan melalui saluran dalaman parti sejurus selesai pemilihan parti, pada November lalu.

“Ia (kepimpinan pusat) sudah memberikan isyarat jelas bahawa kepentingan gandingan Presiden dan Timbalannya antara yang terbaik.

“Ia turut diyakini dengan kepemimpinan dan anggota parti bagi menerajui parti dalam tempoh menjadi kerajaan hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang meminta Anwar meneliti semula pelantikan jawatan utama parti yang didakwa tidak mencerminkan prinsip ‘fair and just representation’ terhadap aspirasi ahli selain tidak membantu parti untuk terus maju.

Terdahulu, beliau yang juga Timbalan Menteri Industri Utama, menyempurnakan majlis penutup program ‘iRUN Hang Tuah Jaya Fun Run 2018’ dan sumbangan kembali ke sekolah di Kompleks Melaka Mall, di sini, hari ini.

Sumbangan baucar RM250 membabitkan kos keseluruhan kira-kira RM120,000 itu disampaikan kepada 1,000 murid membabitkan sepuluh sekolah di sekitar kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya.

Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar berkata, beliau yakin isu berkenaan boleh diselesaikan berdasarkan kebijaksanaan Presiden dan Timbalannya, khususnya perkara berbangkit bagi memperkukuhkan pasukan kepimpinan mengikut saluran dalaman parti.

Beliau berkata, parti setakat ini tidak berdepan sebarang masalah jika beberapa perkara khususnya isu parti dibangkitkan melalui media sosial.

“Saya fikir itu (bangkit isu melalui media sosial) bukan baharu kerana beberapa perkara dibuat sebelum ini pun pada saya tidak melemahkan parti kerana ada pandangan menjurus isu khusus. Ia tidak menjadi masalah besar untuk diselesaikan,” katanya.

671 dibaca
Berita Harian X