Sabtu, 29 Disember 2018 | 7:36pm
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan mempunyai masalah dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mempertikaikan pelantikan jawatan pemilihan parti itu. - Foto IQMAL HAQIM ROSMAN

Saya tiada masalah dengan Azmin - Anwar

PORT DICKSON: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan mempunyai masalah dengan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mempertikaikan pelantikan jawatan pemilihan parti itu.

Beliau berkata, pelantikan yang dilakukan bertujuan untuk melindungi kepentingan semua ahli parti dan bukan hanya satu pihak sahaja.

“Kita tidak boleh lantik pengikut kita sendiri dalam pemilihan itu, sebaliknya perlu mendapatkan sokongan daripada keseluruhan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Springhill di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin dalam satu kenyataan meminta Anwar meneliti semula pelantikan jawatan utama parti dengan mengambil kira pandangan akar umbi.

Beliau mendakwa, pelantikan yang diumumkan tidak mencerminkan prinsip ‘fair and just representation’ terhadap aspirasi ahli dan tidak akan membantu parti untuk terus maju.

Bagaimanapun Anwar berkata, beliau tidak akan melayan permintaan Mohamed Azmin yang memintanya menyemak semula pelantikan jawatan pemilihan parti.

“Tiada keperluan berbuat demikian kerana semua nama sudah diluluskan.

“Saya sudah lantik orang dari dua pasukan itu. Kalau dilihat semula saya lantik Ali Biju (Naib Presiden), dia penyokong Azmin.

“Ketua Penerangan (Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin) juga penyokong dia,” katanya.

1865 dibaca
Berita Harian X