Sabtu, 29 Disember 2018 | 5:17pm
Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha. - NSTP/Aziah Azmee

Lantikan MPP PKR gagal angkat agenda 30 peratus pemimpin wanita

KUALA LUMPUR: Pelantikan barisan kepemimpinan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang diumumkan presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam didakwa gagal mengangkat agenda 30 peratus wanita dalam kepemimpinan parti itu.

Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha, berkata lantikan itu seolah-olah meminggirkan wanita sebagai pemimpin dan tidak selari dengan agenda yang diperjuangkan.

“Agenda pemberdayaan wanita adalah satu topik penting dalam membentuk Malaysia Baharu dan perkara ini dinatijahkan dalam pelbagai perkara yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan.

“Sayangnya, perkara ini seolah-olah dipinggirkan oleh Datuk Seri Presiden yang menyaksikan kurangnya wakil wanita dalam pelantikan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Haniza juga melahirkan rasa terkilan apabila teguran diberikan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali disalah ertikan oleh Anwar dengan menyifatkan teguran itu bersifat peribadi.

“Apa yang diperkatakan Timbalan Presiden adalah benar, yang mana adil dan saksama (fair and just representation) yang diperkatakan beliau juga termasuk representasi sekurang-kurangnya 30 peratus pemimpin wanita dalam lantikan.

“Saya mohon kepada Datuk Seri Presiden untuk tidak berat sebelah dan melihat teguran kami semua sebagai satu perkara yang positif dalam meraikan demokrasi,” katanya.

Beliau berkata, PKR itu sendiri bermaksud meletakkan sesuatu perkara di tempat yang hak dan sewajarnya.

“Sewajarnya Datuk Seri Presiden, mempertimbangkan semula keputusan itu supaya keadilan dalam erti kata sebenar dapat ditegakkan,” katanya.

Sebelum ini Azmin dalam satu kenyataan berkata, pelantikan jawatan utama kepemimpinan PKR dilihat sebagai tidak mencerminkan prinsip perwakilan yang adil dan saksama (fair and just representation) terhadap aspirasi ahlinya.

Beliau berkata, lantikan itu juga tidak akan membantu parti untuk bergerak ke hadapan.

Justeru, pemimpin nombor dua parti itu menggesa Anwar untuk meneliti semula perlantikan jawatan utama kepemimpinan PKR.

493 dibaca
Berita Harian X