Sabtu, 29 Disember 2018 | 5:11pm
Rafizi mempunyai kebolehannya yang tersendiri dalam memacu gerak kerja parti pada masa depan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Rafizi ada kebolehan pacu gerak kerja parti

KANGAR: Pelantikan semula Rafizi Ramli dalam barisan kepemimpinan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR sebagai Naib Presiden bagi sesi 2018-2021 dibuat kerana rakyat menaruh kepercayaan terhadapnya.

Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad, berkata bekas Ahli Parlimen Pandan itu mempunyai kebolehannya yang tersendiri dalam memacu gerak kerja parti pada masa depan.

“Meskipun dia (Rafizi) kalah dalam pemilihan parti sebelum ini, namun saya percaya rakyat melihat beliau sebagai pemimpin yang mempunyai sumbangan tersendiri dalam politik khususnya dalam menegakkan keadilan rakyat.

“Meskipun ada yang tidak bersetuju dalam semua lantikan yang diumumkan semalam, tetapi itu bukanlah satu masalah kerana PKR parti yang demokratik dan sesiapa boleh berbeza pendapat meskipun dengan Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis hari ini.

Semalam Anwar melantik semula beberapa pemimpin ke jawatan dalam barisan kepemimpinan MPP PKR bagi sesi 2018-2021.

Antaranya Rafizi dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sehingga pelantikan mereka semalam seolah dipertikaikan oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mengulas lanjut, Noor Amin berkata, terdapat beberapa jawatan dalam PKR memerlukan pelantikan Presiden sendiri bagi memastikan kedudukan parti dalam negara lebih kukuh.

“Saya tidak nampak pelantikan Rafizi adalah bertujuan untuk memecah belahkan parti kerana dia dilantik oleh Anwar.

“Malah pelantikan itu sememangnya berdasarkan perlembagaan parti dan bukanlah satu isu yang perlu diperbesarkan,” katanya.

Katanya, pelantikan jawatan dalam MPP yang tidak memenuhi selera sebahagian pihak adalah normal dan ia perlu diketepikan bagi memastikan matlamat dan objektif parti tercapai.

Berita Harian X