Sabtu, 29 Disember 2018 | 4:18pm
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad. - NSTP/Muhaizan Yahya

BERSATU bukan 'rumah' baharu untuk ahli UMNO - UMNO Perak

IPOH: UMNO Perak menyanggah kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah ‘rumah’ baharu bagi ahli UMNO.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, berkata beliau yakin ahli UMNO melihat parti mereka sendiri kekal sebagai ‘rumah’ terbaik dalam menjaga nasib serta kepentingan Melayu dan Bumiputera di negara ini.

“BERSATU bukanlah ‘rumah’ baharu bagi ahli UMNO. Terbukti sudah, walaupun BERSATU menerajui kerajaan PH (Pakatan Harapan) tetapi gagal mempertahankan hak orang Melayu dan Bumiputera,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir bahawa BERSATU boleh menjadi ‘rumah’ baharu untuk Melayu yang ketika ini seakan dibelenggu ketakutan dan rasa terancam selepas UMNO tersungkur pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi BERSATU itu ketika temu bual bersama beberapa editor kanan media tempatan turut dilaporkan berkata Melayu turut mengakui hakikat bahawa perpecahan dalam kalangan mereka bakal menyebabkan kaum berkenaan tidak diberikan hak dan layanan sama rata di negara ini.

Mengulas lanjut, Saarani mendakwa Dr Mahathir sendiri gagal mengekang kehendak DAP dalam misi ‘Malaysian Malaysia’.

“Orang Melayu menyedari hakikat ini. Jadi BERSATU bukanlah galang ganti kepada UMNO.

“Orang Melayu tidak boleh bergantung harap kepada BERSATU. UMNO sajalah parti yang kekal dengan prinsip perjuangannya untuk orang Melayu dan rakyat yang lainnya,” katanya.

Saarani berkata, Dr Mahathir menggunakan pendekatan ‘reverse psycology’ atau psikologi berbalik dalam kenyataannya itu.

“Jika BERSATU kuat, berapa bilangan ahlinya? Berapa bilangan bahagian dan cawangannya?

“Saya yakin UMNO tidak akan bubar. Ahli di akar umbi tetap setia dengan UMNO,” katanya.

Berita Harian X