Sabtu, 29 Disember 2018 | 3:53pm
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad. - NSTP/Rasul Azli Samad

Orang Melayu terus selesa 'berteduh' bersama UMNO

MELAKA: Tiada sebab untuk orang Melayu mencari ‘rumah’ baharu dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sedangkan mereka terus selesa ‘berteduh’ dalam legasi perjuangan dan kemudahan dicetuskan UMNO selama ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, berkata BERSATU tidak boleh menolak hakikat UMNO masih dominan dan kekal relevan, terutama dalam kalangan akar umbi yang terus memperjuangkan nasib orang Melayu.

Katanya, parti UMNO adalah rumah sebenar orang Melayu yang selama ini memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara, tetapi kini seolah-olah cuba untuk diambil peranannya oleh BERSATU.

“BERSATU dilihat seolah-olah terdesak untuk menarik lebih ramai orang Melayu, terutama ahli UMNO ke dalam parti baharu itu dalam usaha menyaingi kekuatan parti lain dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

“Cukup-cukuplah perpecahan yang sudah melanda parti orang Melayu di negara ini. Harus diingat UMNO sudah banyak berjasa kepada orang Melayu, termasuk kepada Pengerusi BERSATU, Tun (Dr) Mahathir (Mohamad),” katanya ketika ditemui hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, Dr Mahathir dilaporkan berkata, BERSATU boleh menjadi ‘rumah’ baharu untuk orang Melayu yang ketika ini seakan dibelenggu ketakutan dan rasa terancam selepas UMNO tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mengulas lanjut, Mohamad Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, berkata BERSATU tidak seharusnya memecahkan perpaduan orang Melayu, termasuk cuba menghapuskan legasi UMNO, sebaliknya perlu bersama-sama untuk memperjuangkan serta memperkukuhkan perpaduan kaum itu.

“Sebagai pemimpin lama, beliau (Dr Mahathir) tidak boleh menidakkan hakikat yang UMNO terlalu banyak berjasa. Tidak perlulah menukar (peranan) UMNO, termasuk cuba mengorbankan parti ini.

“UMNO terus memperbaiki kelemahannya, termasuk dengan menggantikan pemimpinnya, tetapi (UMNO) jangan cuba untuk dikorbankan,” katanya.

Katanya, tidak wujud istilah perpecahan dalam kalangan orang Melayu kerana di peringkat akar umbi, parti UMNO masih mempunyai kekuatan yang sudah diterjemahkan melalui PRU-14 yang lalu.

Berita Harian X