Sabtu, 29 Disember 2018 | 2:31pm
Naib Ketua AMK, Mohd Nazree Mohd Yunus dan Naib Ketua Wanita PKR, Sangeetha Jayakumar. - Foto NSTP

Naib Ketua AMK, Naib Ketua Wanita PKR mahu lantikan diteliti semula

SHAH ALAM: Dua lagi pemimpin PKR mahu supaya lantikan jawatan utama dalam barisan kepemimpinan parti itu diteliti semula.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd Nazree Mohd Yunus dan Naib Ketua Wanita PKR, Sangeetha Jayakumar, dalam satu kenyataan bersama hari ini, menyatakan pendirian bahawa pelantikan itu juga perlu berpandukan kepada asas demokrasi yang telus, adil serta selaras dengan hasrat akar umbi parti itu.

“Kemenangan rakyat dalam PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) menuntut kita untuk menjamin sebuah kerajaan yang stabil hasil daripada sebuah organisasi politik yang mantap, inklusif dan matang.

“PKR memiliki tanggungjawab yang signifikan untuk menerajui Pakatan Harapan. Kita harus insaf dan sedar bahawa suara anggota dan akar umbi PKR adalah keutamaan demi memperkukuhkan parti.

“Pemilihan PKR yang baru berlalu adalah suatu referendum anggota yang jelas menyatakan aspirasi mereka mengenai corak kepemimpinan dan masa depan PKR yang ingin dilakar,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Nazree dan Sangeetha meminta seluruh pimpinan dan ahli PKR untuk terus mempertahankan prinsip dan idealisme perjuangan parti itu demi keutuhan perpaduan dan muafakat ahlinya.

Kenyataan kedua-dua pemimpin PKR itu datang selepas beberapa jam kenyataan bernada sama dikeluarkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berpendapat bahawa lantikan jawatan utama yang diumumkan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam laman sosial Facebook malam tadi sebagai tidak mencerminkan prinsip perwakilan yang adil dan saksama (fair and just representation) terhadap aspirasi ahlinya.

Terdahulu Azmin dilaporkan berkata, lantikan itu juga tidak akan membantu parti untuk bergerak ke hadapan lantas menggesa Anwar untuk meneliti semula perlantikan jawatan utama kepemimpinan PKR.

Beliau dilaporkan berkata, pelantikan yang dibuat selepas pemilihan parti yang sengit perlu mengambil kira pandangan akar umbi dalam semangat musyawarah dan saling hormat-menghormati demi mengembalikan perjuangan parti ke landasan yang sebenar.

Semalam NSTP melaporkan, bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dilantik semula sebagai Naib Presiden PKR dalam barisan kepemimpinan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang baharu bagi sesi 2018-2021.

Anwar turut mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang dan Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju sebagai Naib Presiden yang masing-masing mewakili Sabah dan Sarawak.

Turut dilantik semula, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sebagai Setiausaha Agung.

Berita Harian X