Sabtu, 29 Disember 2018 | 2:07pm

Guna saluran betul suara isu parti - Anwar

PORT DICKSON: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya menggunakan saluran betul untuk menyuarakan sebarang isu berkenaan parti.

Beliau berkata, Mohamed Azmin juga sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada akar umbi dalam menyuarakan sebarang pendapat walaupun pandangan peribadi.

“Nasihat saya kepada dia (Azmin) gunalah saluran yang betul dan tunjuk contoh yang baik dengan membawa sebarang isu hanya dalam parti bukan melalui media,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Pantai Piala Anwar Ibrahim di Pantai Saujana di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin dalam satu kenyataan meminta Anwar meneliti semula pelantikan jawatan utama parti dengan mengambil kira pandangan akar umbi.

Beliau berkata, pelantikan yang diumumkan tidak mencerminkan prinsip ‘fair and just representation’ terhadap aspirasi ahli dan tidak akan membantu parti untuk terus maju.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan lantikan yang diumumkan itu bertujuan menjadikan parti itu bersifat inklusif.

“Dia (Azmin) tidak mahu beberapa orang tetapi saya mahu semua orang. Itu yang bezanya.

“Kita tidak boleh nafikan keperluan untuk membawa semua orang. Jadi saya lantik orang Azmin dan Rafizi.

“Saya tahu dia (Azmin) tidak suka beberapa orang yang saya lantik, tetapi saya sudah lantik mereka,” katanya.

927 dibaca
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan Kejohanan Bola Sepak Pantai Piala Anwar Ibrahim di Pantai Saujana, hari ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman
Berita Harian X