Jumaat, 28 Disember 2018 | 5:24pm
Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

BN Pahang bincang isu Sivarrajjh dengan BN Pusat

KUANTAN: Barisan Nasional (BN) Pahang akan berbincang dengan BN Pusat bagi menentukan tindakan lanjut selepas bekas penyandang kerusi Parlimen Cameron Higlands, Datuk C Sivarraajh hilang kelayakan bertanding dan tidak boleh dicalonkan semula pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 26 Januari ini.

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata perbincangan itu akan diadakan dalam masa terdekat.

“Sudah tentu saya sedih dan kecewa dengan keputusan ini. Datuk Sivarraajh terbukti seorang Ahli Parlimen yang bagus sepanjang beliau menjadi Ahli Parlimen sejak memenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

“Dengan keputusan SPR pada hari ini, saya perlu berbincang dengan kepemimpinan BN Pusat untuk menentukan tindakan selanjutnya. Perbincangan dengan Datuk Sivarraajh juga akan turut dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, dalam kenyataan hari ini memaklumkan Sivarrajjah hilang kelayakan bertanding selepas mengkaji keseluruhan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu.

Katanya, ia termasuk meneliti Perakuan Hakim Pilihan Raya, mengikut Seksyen 36 (2) (a) dan Laporan Hakim Pilihan Raya mengikut Seksyen 37, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 pada 13 Disember lalu serta pandangan undang-undang mengikut Akta 5, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Sementara itu, Wan Rosdy percaya semangat kerja jentera pilihan raya BN tidak akan luntur dengan keputusan SPR itu, sebaliknya lebih membara dan menerimanya sebagai satu cabaran besar yang perlu ditangani dan diatasi dengan sewajarnya.

“Saya percaya, apa juga keputusan diambil kepemimpinan BN Pusat dan negeri serta Datuk Sivarraajh akan diterima dengan berlapang dada oleh jentera parti, seterusnya bekerja lebih kuat lagi bagi memastikan kemenangan BN pada PRK Cameron Highlands,” katanya.

PRK Cameron Highlands diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Sivarraajh pada PRU-14 selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada PRU-14, Sivarraajh menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi, menewaskan empat calon lain, iaitu calon DAP, M Manogran, yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS - 3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa - 81 undi) dan B Suresh Kumar (PSM - 680 undi).

Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu dengan memohon pengisytiharan bahawa keputusan PRU-14 untuk kerusi itu terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Berita Harian X