Khamis, 27 Disember 2018 | 5:15pm
Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran. - NSTP/Sairien Nafis

MIC mula rangka strategi hadapi PRK Cameron Highlands

KUANTAN: MIC memulakan persediaan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang dijangka sengit berikutan usaha Pakatan Harapan (PH) untuk merampasnya.

Beberapa pemimpin kanan parti itu memendekkan cuti Hari Krismas dan Tahun Baharu 2019 termasuk Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan yang mempengerusikan mesyuarat penyelarasan MIC bagi PRK Cameron Highlands pagi semalam sebelum Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) bermesyuarat pada sebelah petangnya.

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran yang mempengerusikan mesyuarat CWC itu dijadualkan akan ke Cameron Highlands esok untuk bertemu pemimpin cawangan MIC serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India.

Sumber dalaman MIC berkata, pemimpin kanan parti itu dilihat sibuk mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak bagi merancang strategi untuk mengekalkan kerusi berkenaan bagi Barisan Nasional (BN).

“Kali terakhir MIC bertanding pada PRK Parlimen adalah pada 2010 di Hulu Selangor, bagaimanapun banyak perkara sudah berubah termasuk penggunaan media sosial secara meluas menyebabkan kita perlu mengubah strategi.

“Berdasarkan pelbagai pertemuan, semua dalam parti bersemangat tinggi dan mahu bekerja keras untuk berkempen sekali gus memenangi pilihan raya.

“Bagi memastikan kempen yang lancar, parti memerlukan penyelarasan yang sesuai antaranya pengangkutan berikutan keluasan kawasan berkenaan agak luas serta berbukit tinggi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, ahli parti juga sedang menunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kelayakan bekas penyandang kerusi itu yang juga Naib Presiden MIC, Datuk C Sivarraajh untuk bertanding pada PRK Cameron Highlands.

“Sivarraajh adalah calon terbaik dan semua berharap keputusan yang positif dijadualkan minggu depan.

“Sekiranya Sivaraajh hilang kelayakan, kita sudah pasti mengalami kesukaran mencari pengganti kerana beliau sudah berkhidmat di Cameron Highlands sejak tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MIC Pahang, V Arumugam, berkata beliau akan mengadakan mesyuarat dengan semua pemimpin MIC negeri ini pada 30 Disember depan untuk menyediakan jentera dan sokongan sepanjang tempoh berkempen.

PRK Cameron Highlands diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Sivarraajh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada PRU-14, Sivarraajh menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi, menewaskan empat calon lain, iaitu calon DAP, M Manogran, yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS - 3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa - 81 undi) dan B Suresh Kumar (PSM - 680 undi).

Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu dengan memohon pengisytiharan bahawa keputusan PRU-14 untuk kerusi itu terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

603 dibaca
Berita Harian X