Ahad, 23 Disember 2018 | 8:21pm
PENGERUSI Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang, Fuziah Salleh. - Foto SYARAFIQ ABD SAMAD

PKR tak tuntut kerusi Parlimen Cameron Highlands

TEMERLOH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang tidak menuntut kerusi Parlimen Cameron Highlands daripada DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 26 Januari tahun depan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang, Fuziah Salleh, berkata pihaknya akan memberikan sokongan kepada sesiapa saja calon daripada DAP yang bakal mewakili Pakatan Harapan (PH) dengan membuka dua bilik gerakan.

Katanya, dua bilik gerakan itu dibuka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata dan Jelai manakala gerak kerja diketuai Ketua Cabang Cameron Highlands, Tan Wei Wun bagi DUN Jelai, dibantu Ketua Cabang Lipis, Rizal Jamin.

“Kita akan memberikan sokongan padu kepada DAP yang bertanding bagi kerusi itu nanti.

“Kita tidak akan menuntut kerusi parlimen itu dan memberikan sokongan dengan membuka dua bilik gerakan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Fuziah mengadakan mesyuarat bersama ketua-ketua cabang PKR di Pahang.

PRK Cameron Highlands diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan calon BN, Datuk C Sivarraajh pada PRU-14 selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada PRU-14, Sivarraajh yang juga Naib Presiden MIC menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi, menewaskan empat calon lain, iaitu calon DAP, M Manogran, yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS - 3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa - 81 undi) dan B Suresh Kumar (PSM - 680 undi).

Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu dengan memohon pengisytiharan bahawa keputusan PRU-14 untuk kerusi itu terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

1795 dibaca
Berita Harian X