Ahad, 23 Disember 2018 | 5:06pm
Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah.

DAP tolak cadangan letak calon BERSATU di Cameron Highlands

KUANTAN: DAP Pahang menolak cadangan supaya wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dipertimbangkan sebagai calon mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highland 26 Januari tahun depan.

Pengerusinya, Leong Ngah Ngah, berkata ini kerana pembahagian kerusi sudah ditetapkan di kalangan komponen PH dan digunakan sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan DAP bertanding di Parlimen Cameron Highlands.

“Saya rasa tidak mungkin ia berlaku (wakil BERSATU mewakili PH pada PRK Cameron Highlands) kerana DAP hanya ada tiga kerusi saja di Pahang, kita mahu ia diteruskan.

“DAP meminta BERSATU supaya membantu mendapatkan undi daripada masyarakat Melayu di Cameron Highlands bagi memastikan kemenangan PH,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas usul Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU Cawangan Sungai Koyan, Samsul Nizam Abd Rahim dalam Konvensyen BERSATU Pahang baru-baru ini yang meminta pucuk pimpinan PH mempertimbangkan wakil daripada parti itu untuk bertanding pada PRK Cameron Highlands.

Ia berikutan majoriti pengundi di Cameron Highlands adalah pengundi Melayu yang menjadi penentu kemenangan di kerusi lazimnya ditandingi DAP.

Kemungkinan besar DAP akan mencalonkan M Manogaran yang bertanding dalam dua pilihan raya umum sebelum ini untuk mewakili PH pada PRK Cameron Highlands.

Dalam pada itu, Ngah Ngah mengakui bukan mudah untuk PH merampas Parlimen Cameron Highlands daripada Barisan Nasional (BN) dan pihaknya perlu berusaha mendapatkan lebih banyak undi Melayu.

“Ini kerana ada 3,000 undi Melayu pergi kepada PAS pada PRU-14 dan mungkin agak sukar bagi kita mendapatkannya, bagaimanapun kita perlu berusaha sebaik mungkin.

“Sokongan pengundi Cina mungkin kita tiada masalah selain India yang dijangka meningkat dengan jangkaan tiada calon Bebas bertanding seperti sebelum ini,” katanya.

PRK Cameron Highlands diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan calon BN, Datuk C Sivarraajh pada PRU-14 selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada PRU-14, Sivarraajh yang juga Naib Presiden MIC, menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi, menewaskan empat calon lain, iaitu calon DAP, M Manogran, yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS - 3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa - 81 undi) dan B Suresh Kumar (PSM - 680 undi).

Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu dengan memohon pengisytiharan bahawa keputusan PRU-14 untuk kerusi itu terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

3242 dibaca
Berita Harian X