Sabtu, 22 Disember 2018 | 3:06pm
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dipilih sebagai Pengarah PRK Cameron Highlands BN. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Cabaran besar Wan Rosdy pastikan kemenangan BN

KUANTAN: Pemilihan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands BN bertepatan dengan situasi semasa.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Ab Hamid Nazahar, berkata secara tradisinya jawatan itu sepatutnya dipegang oleh Timbalan Pengerusi BN seperti sebelum ini namun keadaan dan situasi semasa memerlukan Wan Rosdy untuk menjawatnya.

Katanya, ada kemungkinan jawatan itu diberikan kepada Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang kerana mengambil kira Pahang adalah satu daripada negeri yang masih ditadbir BN.

“Selain itu status Parlimen Cameron Highlands itu sendiri di mana satu daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalamnya adalah DUN Jelai yang diwakili Wan Rosdy.

“Kita berterima kasih kepada pucuk pimpinan yang memberikan mandat berkenaan dan ia dilihat satu cabaran besar kepada beliau (Wan Rosdy), namun begitu kita akan memberikan fokus sepenuhnya dalam membantu calon BN,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian Bantuan Khas Menteri Besar Pahang kepada pelajar sekolah rendah di sini, hari ini.

Ia disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO bersetuju melantik Wan Rosdy sebagai Pengarah PRK Cameron Highlands untuk BN manakala Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula diberi tugas menyusun atur strategi serta program parti sepanjang tempoh berkempen.

PRK Cameron Highlands diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk C Sivarraajh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) terbatal dan tidak sah selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada PRU-14, Sivarraajh yang juga Naib Presiden MIC menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

SPR menetapkan PRK Cameron Highlands diadakan pada 26 Januari tahun depan, manakala penamaan calon ditetapkan pada 12 Januari dan tarikh mengundi awal pada 22 Januari.

Sebanyak 32,009 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang dikemaskini pada November lalu.

450 dibaca
Berita Harian X