Sabtu, 22 Disember 2018 | 1:02pm
NAIB Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar menyampaikan anugerah kepada graduan pada Majlis Konvokesyen Pertama Kolej Sains Geospatial dan Teknologi (GSTC) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Saifullizan Tamadi

Nurul Izzah perlu terus bantu parti - Dr Xavier

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, diharap akan terus membantu dan mengutamakan PKR walaupun tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam parti.

Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar, berkata walaupun keputusan Nurul Izzah adalah drastik, beliau tetap menghormati tindakan yang diambil bekas naib presiden parti itu.

“Saya harap beliau boleh melihat semula cara untuk membantu parti, untuk maju ke hadapan. Walau apa pun pendiriannya, kita kena menerima sebagai anggota parti.

“Apa yang lebih penting ialah kepada parti bukan kepada individu lain. Beliau sebagai Ahli Parlimen mesti ada tanggungjawab untuk membantu parti dan membawanya ke tahap yang lebih baik berbanding sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Pertama Kolej Sains Geospatial dan Teknologi (GSTC) di sini, hari ini.

Isnin lalu, Nurul Izzah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR serta mengundurkan diri daripada pelantikannya sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Menerusi kenyataannya, beliau berkata keputusan itu sudah pun dimaklumkan kepada kepemimpinan tertinggi PKR dan beliau hanya mahu berkhidmat kepada rakyat sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh tanpa terikat dengan jawatan dalam parti.

Susulan itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendedahkan tindakan Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang melompat menyelamatkan nyawa politik untuk rancangan yang jelek antara punca Nurul Izzah meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR.

Anwar berkata, kekesalan itu diluahkan kepadanya dalam perbincangannya bersama Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Mengulas lanjut, Dr Xavier menasihatkan Nurul Izzah supaya melihat realiti sebenar senario politik supaya dapat terus berkhidmat kepada parti.

“Saya tidak mahu mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan Presiden parti tetapi Nurul Izzah perlu melihat keadaan sebenarnya.

“Kita sudah lama dalam senario politik dan saya sendiri sudah 20 tahun berjuang dengannya di dalam parti,” katanya.

452 dibaca
Berita Harian X