Jumaat, 21 Disember 2018 | 8:39pm
PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim - Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN

Lompat parti antara sebab Nurul Izzah lepas jawatan - Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang melompat menyelamatkan nyawa politik untuk rancangan yang jelek didedahkan antara punca Nurul Izzah Anwar meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Isnin lalu.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mendedahkan perkara itu, berkata kekesalan itu diluahkan kepadanya dalam perbincangannya bersama Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Jelasnya, bukanlah haknya untuk memperincikan butir-butir terperinci perbincangan berkenaan tetapi yang jelas adalah ‘kerancakan perkembangan politik yang terus menerus sejak sembilan bulan lalu’ membuatkan Nurul Izzah mual dan muak.

“Beliau mual dan muak dengan perangai dan telatah golongan yang lebih sibuk dengan politik kepartian daripada bekerja untuk rakyat.

“Sebagai contoh, beliau menyatakan kekecewaan dengan aksi-aksi ahli-ahli parlimen yang melompat menyelamatkan nyawa politik.

“Tetapi apa yang lebih parah, adalah mereka dimanfaatkan untuk rencana yang jelek,” katanya dalam satu kenyataan media yang dimuat naik di Facebook rasmi beliau di sini, hari ini.

Isnin lalu, Nurul Izzah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR serta mengundurkan diri daripada pelantikannya sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Menerusi kenyataannya, beliau berkata keputusan itu sudah pun dimaklumkan kepada kepemimpinan tertinggi PKR dan beliau hanya mahu berkhidmat kepada rakyat sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh tanpa terikat dengan jawatan dalam parti.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata walaupun ramai yang beranggapan keputusan Nurul Izzah itu terburu-buru dan gelojoh, beliau beranggapan ia sememangnya konsisten dengan wataknya yang berani menyatakan pendapat dan prinsipnya.

Jelasnya, tindakan anaknya itu secara tidak langsung mengkritik kerat pimpinan parti yang lebih tamakkan kepentingan parti daripada kesatuan parti.

“Sejak 20 tahun lalu, semangat reformasi dalam diri Nurul Izzah tidak pernah luntur dan berganjak. Peristiwa 9 Mei sesungguhnya adalah suatu anjakan besar buat negara yang membawa pelbagai maksud.

“Tetapi kejayaan kita dalam usaha perluasan dan pemekaran ruang demokratik tidak akan ada sebarang makna sekiranya agenda reformasi disabotaj.” katanya.

Walaupun keputusan Nurul Izzah itu menjadi satu kehilangan besar bukan saja buat PKR tetapi negara seluruhnya, Anwar menggesa ahli parti dan rakyat menghormatinya.

“Berilah ruang secukupnya untuk beliau renungi dan mencatur kembali langkah yang seterusnya.

“Saya amat yakin beliau akan terus komited terhadap rakyat dan bekerja untuk mereka dengan rasa penuh tanggungjawab dan amanah,” katanya.

6187 dibaca
Berita Harian X