Jumaat, 21 Disember 2018 | 8:38pm
PEMANGKU Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (kanan) bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media selepas masyuarat majlis tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. - Foto SYARAFIQ ABD SAMAD

BN adakan mesyuarat tentukan siapa calon di Cameron Highlands

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi perbincangan menentukan siapa calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata meskipun secara umumnya parti komponen BN sudah bersetuju MIC akan bertanding di kawasan itu, namun satu mesyuarat mesti diadakan bagi membincangkannya secara rasmi.

Beliau berkata, sekarang ini terpulang kepada Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, sama ada untuk mengekalkan penyandang sebelum ini iaitu Datuk C Sivarraajh atau memilih calon lain.

“Secara umum, kita sudah setuju pulangkan kerusi itu untuk ditandingi MIC selaku wakil PRU lalu walaupun belum ada mesyuarat BN.

“Apa pun, kita akan bermesyuarat dengan MIC dalam masa terdekat untuk tentukan parti mana akan mewakili BN di Cameron Highlands dan calon akan diputuskan ketika itu. Kita akan bincang dengan baik.

“Kawasan itu diwakili parti komponen BN. Kita masih menghormati tetapi terpulang kepada Presiden MIC siapa mereka mahukan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Khas UMNO di Menara Dato Onn, hari ini.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal ekoran berlakunya rasuah.

Pada PRU-14, Sivarraajh yang juga Naib Presiden MIC, menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands yang membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran dari PKR yang memperoleh 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd. Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK P078 Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari tahun depan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, berkata penamaan calon pula ditetapkan pada 12 Januari tahun depan manakala tarikh mengundi awal ditetapkan pada 22 Januari.

Mengulas persiapan BN, Mohamad berkata pihaknya melantik Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Pengarah PRK.

Katanya, sebelum ini jawatan sebagai Pengarah PRK akan disandang oleh Timbalan Presiden.

“Wan Rosdy selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang dan Ketua Bahagian (Cameron Highlands) merangkap Menteri Besar Pahang dilantik sebagai Pengarah PRK sambil dibantu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk susun atur program membantu jentera pilihan raya di Cameron Highlands,” katanya.

701 dibaca
Berita Harian X