Khamis, 20 Disember 2018 | 6:25pm
LEONG Ngah Ngah

DAP tidak mahu kecewa lagi, berusaha rampas Cameron Highlands

KUANTAN: DAP Pahang sudah bersedia untuk merampas kerusi Parlimen Cameron Highlands, sekali gus menamatkan penguasaan Barisan Nasional (BN) sejak 2004, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 26 Januari ini.

Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah, berkata walaupun kerusi Parlimen itu dilihat sebagai ‘kubu kuat’ BN yang menang sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11 hingga PRU-14 (tahun 2004, 2008, 2013 dan 2018), parti itu yakin dapat memecahkan penguasaan BN.

Beliau berkata, DAP Pahang juga tidak rela ‘berputih mata’ lagi selepas dapat mengurangkan bilangan majoriti calon BN pada dua pilihan raya umum sebelum ini iaitu pada PRU-13 dan PRU-14.

“Pada dua pilihan raya berkenaan, BN menang dengan majoriti kurang 1,000 undi. Jadi, kita yakin untuk menang dan PRK kali ini dilihat masa terbaik untuk kita membuktikan calon kita layak untuk memberi perkhidmatan kepada pengundi di sana.

“Kita sudah membuat persiapan bagi menghadapi PRK dan mengadakan mesyuarat serta pertemuan dengan pemimpin dan ahli untuk menghadapinya, seterusnya merampas kerusi Parlimen ini daripada BN,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ngah Ngah juga berkata, calon DAP yang bertanding dalam dua pilihan raya umum sebelum ini iaitu M Manogaran adalah calon paling layak untuk bertanding semula bagi menghadapi PRK bulan hadapan.

“Manogaran tidak pernah berputus asa walaupun tewas dan tetap memberi perkhidmatan kepada pengundi... memandangkan beliau sudah dikenali, maka adalah lebih baik membenarkannya bertanding semula.

“Bagaimanapun, keputusan muktamad mengenai calon terletak pada tangan pemimpin DAP dan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Calon BN, Datuk Seri S K Devamany, menang kerusi Parlimen Cameron Highlands, yang secara tradisi diwakili calon MIC, pada PRU-11 dan PRU-12 sebelum bekas Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel menang kerusi itu pada PRU-13 (2013) diikuti Naib Presiden MIC, Datuk C Sivarraajh pada PRU-14, Mei lalu.

Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu dengan memohon pengisytiharan bahawa keputusan PRU-14 untuk kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU-14 adalah terbatal dan tidak sah selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Sementara itu, Setiausaha MIC Pahang, Ismail Abdullah, berkata pihaknya menunggu keputusan Presiden parti, Tan Sri A Vigneswaran, untuk mempengerusikan mesyuarat mengenai persediaan menghadapi pilihan raya kecil berkenaan.

Selain itu, sumber MCA Pahang pula berkata, pihaknya belum dapat menentukan sama ada mereka perlu menyokong dan membantu kempen pilihan raya calon BN atau sebaliknya.

“Kita belum menerima sebarang arahan dan keputusan mengenainya (PRK Cameron Highlands)... hanya Presiden (Datuk Seri Dr Wee Ka Siong) yang boleh mengulas mengenai perkara ini,” katanya.

INFO

Parlimen P.078 - CAMERON HIGHLANDS

Parti Menang: BN

Majoriti Undi: 597

Manogaran (PKR): 9,710

Cikgu Wan Mahadir (PAS): 3,587

Dato’ Sivarraajh Chandran (BN): 10,307

Ustaz Tahir (BERJASA): 81

Suresh Kumar (PSM): 680

Berita Harian X