Khamis, 20 Disember 2018 | 6:14pm
C. Sivarraajh. - NSTP/L. Manimaran

Sivarraajh layak bertanding kerana tiada sabitan kes rasuah

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda MIC, Datuk C Sivarraajh boleh bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands kerana bebas daripada sebarang tuduhan termasuk pertuduhan rasuah.

Pakar perlembagaan yang juga Profesor Undang-undang Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek, berkata secara umumnya, calon MIC itu layak untuk bertanding pada PRK kerana tiada tindakan undang-undang di ambil ke atasnya pada masa ini walaupun Mahkamah Pilihan Raya membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kawasan berkenaan.

Katanya, apa yang berlaku pada Sivarraajh itu adalah melanggar kesalahan pilihan raya yang menyebabkan kemenangannya sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands di batalkan.

“Sivarraajh tidak didakwa atas kesalahan rasuah sama ada oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) atau polis, maka beliau boleh dan layak bertanding PRK.

“Selagi tidak ada tindakan undang-undang di ambil ke atas beliau, beliau boleh bertanding.

“Persoalannya, dikhuatiri Sivarraajh akan dikenakan tuduhan rasuah ketika penamaan calon nanti dan ini akan menyebabkan beliau kehilangan kelayakan untuk bertanding,” katanya ketika dihubungi NSTP bagi mengulas kelayakan Sivarraajh sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK Cameron Highlands.

Akhir November lalu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Mei lalu yang memberikan kemenangan kepada calon BN adalah terbatal dan tidak sah.

MIC tidak akan membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan keputusan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) Cameron Highlands, sekali gus membuka laluan supaya pilihan raya diadakan semula.

Isnin lalu, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran mengumumkan Sivarrajaah bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands itu adalah antara tiga nama yang dipertimbangkan untuk dicalonkan untuk PRK itu.

Pada PRU-14, Sivarraajh menang dengan undi 10,307 undi, manakala Manogaran memperoleh 9,710 undi. Calon PAS, Wan Mahadir Wan Mahmud memperoleh 3,587 undi; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), B Suresh Kumar (680) dan calon parti Berjasa, Mohd Tahir Kassim (81).

Semalam, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dilaporkan berkata, SPR sedang menyemak undang-undang berkaitan sebelum menentukan status kelayakan Sivarraajh untuk dicalonkan semula sebagai calon pada PRK Cameron Highlands.

“Kita sedang meneliti dengan lebih lanjut laporan oleh Hakim Pilihan Raya mengenai kelayakan Sivarraajh yang juga penyandang kerusi berkenaan.

“Sekarang SPR juga sedang menunggu penasihat undang-undang dari pihak berkenaan mengenai status kelayakan itu. Selepas keputusan diterima, makluman mengenainya akan dibuat dengan segera,” katanya.

Sementara itu, peguam DAP, RSN Rayer dilaporkan berkata Sivarraajh tidak layak bertanding semula kerana kemenangannya itu dibatalkan.

Katanya, mengikut Seksyen 37, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menyatakan bahawa seseorang yang kemenangannya dimansuhkan tidak boleh bertanding lagi.

Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar memuji usaha SPR yang mahu merujuk semula kelayakan Sivarraajh bagi bertanding pada PRK kawasan itu kepada Pejabat Peguam Negara.

Katanya, langkah itu adalah yang terbaik demi keadilan kepada calon yang berkenaan memandangkan Ahli Parlimen itu adalah calon yang diberi kemenangan pengundi kawasan terbabit walaupun beliau didapati bersalah melanggar kesalahan pilihan raya.

“Untuk berlaku adil, jalan terbaik sekali adalah dengan memberi masa kepada SPR dan Jabatan Peguam untuk meneliti maksud undang-undang terbabit kerana dalam kes ini hanya kerusi Parlimen itu terbatal berikutan melanggar kesalahan pilihan raya tetapi beliau sendiri tidak dibuktikan atau disabitkan kesalahan melakukan rasuah.

“Justeru, SPR perlu mengeluarkan perakuan kepada calon itu mengenai kelayakannya kerana dalam kes yang seumpama ini, pertama kali seingat saya seseorang itu dibatalkan kemenangannya kerana kesalahan sogokan undi yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata langkah terbaik untuk membolehkan Sivarraajh bertanding semula pada PRK Cameron Highlands adalah dengan mendapatkan surat perakuan daripada SPR mengenai kedudukannya.

Katanya, dalam hal ini, Sivarraajh adalah calon menang yang kemenangannya terbatal kerana kesalahan pilihan raya dan beliau tidak disabitkan atas kesalahan jenayah atau rasuah.

“Justeru, lebih baik dapatkan perakuan daripada SPR jika tidak, dikhuatiri apa yang berlaku kepada calon PKR, Tian Chua pada PRU-14 akan berulang kembali.

“Dari sudut politik, adalah lebih baik MIC kemukakan calon lain kerana reputasi Sivarraajh tercalar dengan pembatalan kemenangannya.

“Untuk jaminan kemenangan tampilkan calon yang bersih dan bebas isu serta diyakini pengundi di kawasan terbabit,” katanya.

Sementara itu, Sivarraajh berkata, beliau sudah menulis kepada SPR pada 11 Disember lalu mengenai status kelayakan beliau untuk menjadi calon PRK Cameron Highlands.

“Dalam reaksi awal, SPR beri jaminan hanya boleh menentukan statusnya itu seawal 3 Januari iaitu sama ada boleh bertanding atau tidak. Buat masa ini saya masih mendapatkan nasihat peguam dan pakar perundangan mengenainya,” katanya

1264 dibaca
Berita Harian X