Khamis, 20 Disember 2018 | 2:15pm
LATHEEFA Koya. - NSTP/Aziah Azmee

Tuduh PKR amal kronisme, Latheefa diadu ke Lembaga Disiplin

PETALING JAYA: Bekas anggota pimpinan pusat PKR, Latheefa Koya berdepan tindakan disiplin susulan kenyataannya mendakwa pelantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diselubungi amalan kronisme.

Aduan masalah disiplin Latheefa itu dikemukakan dua pemimpin PKR cabang negeri masing-masing iaitu Ketua Penerangan PKR Cabang Klang, Mohd Farazi Mohd Shah dan Naib Ketua Cabang PKR Indera Mahkota, Kamarul Hatta Mohamed Ali di Ibu Pejabat PKR di sini, hari ini.

Pada sidang medianya, Mohd Farazi berkata, kenyataan dikeluarkan Latheefa yang menyifatkan Presiden PKR itu mengamalkan budaya kronisme dan nepotisme sebagai fitnah.

“Kami berpendapat kenyataan itu berbaur fitnah, cuba merosakkan imej parti dan melanggar disiplin parti.

“Mengikut perlembagaan parti, Pengerusi MPN perlu dilantik oleh presiden selepas berunding dengan ketua cabang setiap negeri.

“Selari dengan Bahagian XI Fasal 41.2 perlembagaan parti, kami mengemukakan aduan bertulis berhubung salah laku anggota (Latheefa) kepada Lembaga Disiplin,” katanya.

Turut hadir memberikan sokongan ialah Exco Wanita PKR Pusat, S Thilagavaty yang juga Ketua Wanita Cabang Kuala Langat dan 30 pemimpin cabang PKR negeri.

Mohd Farazi dan Kamarul Hatta kemudian menyerahkan aduan mereka kepada wakil Lembaga Disiplin parti selepas sidang media berkenaan.

Latheefa yang juga peguam dalam satu kenyataan Selasa lalu berkata, pelantikan MPN oleh Anwar yang diumumkan baru-baru ini, adalah ‘mengganggu dan menyebabkan kebimbangan serius’.

Katanya, Pengerusi MPN yang dilantik terarah kepada dua puak utama dalam PKR kecuali bagi pelantikan di Sarawak dan Selangor.

“Kenapa ketidakseimbangan ini berlaku dan memihak kepada satu puak?”

“Pelantikan yang memihak kepada satu puak tertentu sama seperti kronisme, yang menjadi ancaman kepada mana-mana pembaharuan parti” kata Latheefa.

Beliau turut dilaporkan berkata, pemilihan Pengerusi MPN pada awalnya tidak mendapat sokongan majoriti dalam kalangan ketua cabang negeri selain ada yang ‘menukar sokongan mereka’ selepas dipanggil untuk bertemu dengan presiden.

Latheefa turut mendakwa presiden memilih sendiri calon MPN di Johor, Negeri Sembilan dan Selangor walaupun calon lain menerima sokongan majoriti ketua cabang.

Sementara itu, Thilagavaty menyifatkan keputusan presiden memilih Pengerusi MPN bukan amalan nepotisme sebaliknya berlandaskan prinsip demokrasi dan perlembagaan parti.

“Saya kesal dengan dakwaan Latheefa yang menuduh presiden mengamalkan nepotisme dan kronisme,” katanya.

635 dibaca
Berita Harian X